Muda malam tadi mengumumkan tiga lagi pertaruhan mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menjadikan parti itu meletakkan empat calon secara keseluruhan.
Mereka terdiri daripada Premanand, 36, yang akan bertanding di DUN Bukit Batu; Amir Jack, 30, di Maharani; dan Ainie Haziqah Shafii, 36, di Simpang Jeram.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, pada acara Malam Suara Muda di Kuala Lumpur yang dianjurkan bagi meraih dana untuk parti itu menyertai PRN Johor bulan depan.
Sebelum ini Muda mengumumkan calon untuk DUN Puteri Wangsa iaitu Rashifa Aljunied bagi menggantikan Amira yang tidak mempertahankan kerusi tersebut.
Rashifah merupakan pegawai khas kepada Amira, manakala Premanand berkhidmat sebagai perunding syarikat swasta.
Amir pula ialah pegawai khas kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman, dan Ainie Haziqah merupakan seorang peguam merangkap Setiausaha Agung Muda.
Ditanya mengenai pengurangan calon yang ditampilkan berbanding PRN lalu, Amira Aisya berkata, perkara itu diteliti oleh jawatankuasa pengundian calon yang mengambil kira pelbagai aspek.
Katanya, pada peringkat awal jawatankuasa berkenaan menerima 20 nama untuk dipertimbangkan sebelum mereka membuat keputusan untuk memilih empat calon tawaran terbaik untuk PRN kali ini.

“Sudah tentu suatu hari nanti kami harap dapat hantar lebih ramai calon, tetapi Muda tidak sasarkan calon tangkap muat semata-mata kerana nak bertanding.
“Apabila Muda menawarkan calon kami nak pastikan mereka betul-betul boleh berkhidmat sekiranya diberikan mandat,” katanya dalam sidang media.
Tambah Amira Aisya, Muda membuat pelbagai penelitian sebelum memutuskan pilihan mereka termasuk latar belakang calon bagi memastikan parti itu menghantar individu yang dikenali.
Dalam perkembangan sama, Amira Aisya turut mengumumkan kerjasama “blok progresif” melibatkan Muda bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mengharungi PRN Johor.
"Muda mengambil keputusan untuk bergerak dalam PRN Johor sebagai blok progresif bersama PSM.
"Kami yakin PSM akan meletakkan seorang calon pada PRN Johor. Mereka akan umum calon dan kerusi yang akan ditandingi pada minggu depan," katanya.





