Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan pemegang jawatan dan kedudukan tinggi di negeri itu supaya memastikan setiap tindakan dan keputusan dibuat berasaskan penelitian menyeluruh terhadap segala fakta dan maklumat berkaitan.
Baginda bertitah setiap tindakan dan keputusan diambil mestilah berlandaskan garis panduan serta undang-undang ditetapkan.
"Beta ingin membangkitkan satu perkara yang amat penting kepada Negeri Sembilan dan juga beta sendiri. Perkara ini ditujukan khususnya kepada individu diberikan jawatan atau kedudukan tinggi, yang datang bersama amanah serta tanggungjawab besar.

"...jangan sesekali membuat keputusan atau tindakan dipengaruhi hawa nafsu dan emosi semata-mata. Kegagalan mematuhi prinsip ini boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di Seremban hari ini.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah menyeru masyarakat bahawa setiap ulasan atau komen terhadap sesuatu isu perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan kefahaman mendalam.
“Jangan terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita tanpa siasatan serta pengesahan yang sewajarnya.
"Sikap terburu-buru dan tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat boleh membawa kesan tidak baik kepada masyarakat dan negeri," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah dalam menghadapi cabaran ekonomi global, kerajaan negeri perlu memfokuskan kepada projek dirangka dan pastikan ia memberi manfaat kepada rakyat.
Baginda bertitah kesemua pemimpin perlu memikul tanggungjawab memimpin rakyat ke arah negeri yang bersatu, sejahtera, dan makmur.
"Ingatlah bahawa setiap tindakan dan keputusan kamu sentiasa diperhati rakyat, dan dengan kemajuan dunia digital tanpa sempadan, segala yang kamu lakukan mudah diketahui," titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah bersempena persidangan DUN, semua ahli dewan dinasihatkan berbahas dengan penuh rasional, intelektual dan pastikan setiap hujah dikemukakan memberikan manfaat kepada masyarakat dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat.

Baginda turut mengingatkan ahli dewan supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan semasa berhujah dan sepanjang persidangan berlangsung.
Sementara itu, Tuanku Muhriz turut menegaskan pembangunan negeri bukan sekadar berhubung pencapaian ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi perlu juga merangkumi pembangunan sosial melibatkan penyediaan kemudahan asas berkaitan pendidikan, kesihatan, perumahan, pembangunan komuniti dan keselamatan.
"Kamu perlu terus memperkasakan tadbir urus dan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan melalui pelbagai medium. Beta amat berterima kasih kepada agensi kerajaan menerusi langkah proaktif dengan melaksanakan pendekatan turun padang yang lebih kerap," titah baginda.





