Teman lelaki kepada pelakon Tiz Zaqyah, Nas Amer memaklumkan mereka masih merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun ini selepas hasrat mengadakan majlis pada Jun lalu tidak dapat direalisasikan.
Menurut Nas, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan jadual kerja mereka yang padat selain beberapa urusan lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Dipercayai Teman Istimewa Tiz Zaqyah Mohon Doa Orang Ramai – ‘Semoga Allah Permudahkan Segala Urusan’
ARTIKEL BERKAITAN: Tiz Zaqyah Rancang Kahwin Tahun Depan, Kenalan Sejak Kecil Jadi Pilihan Hati – ‘Bila Tiba Masanya Saya Buat Pengumuman Rasmi’
Jadual Tiz, Nas padat
“Kami memang masih berusaha untuk merealisasikan majlis perkahwinan dalam tahun ini. Cuma buat masa sekarang, jadual kami berdua agak padat dan ada beberapa perkara kecil yang perlu diselesaikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Nas berkata mereka tidak pernah mengubah hasrat untuk berkahwin, malah kini sedang menyusun semula perancangan bagi mencari tarikh yang paling sesuai.

Katanya, jika semuanya berjalan lancar, majlis tersebut berkemungkinan diadakan pada tahun ini juga.
“Insya-Allah kami tetap sasarkan tahun ini juga. Disebabkan perancangan pada Jun lepas tak menjadi, mungkin kami akan pilih hujung tahun dan kalau boleh bersempena dengan hari lahir saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nas berkata mereka sedang meneliti jadual masing-masing sebelum memuktamadkan tarikh baharu.
“Doakan semuanya dipermudahkan. Bila dah ada tarikh yang sesuai nanti, media akan menjadi antara orang pertama yang kami maklumkan,” katanya.
Sebelum ini, pada November tahun lalu, Nas pernah memaklumkan persiapan majlis perkahwinan mereka sudah mencapai kira-kira 50 peratus.
View this post on Instagram
Keluarga kedua pihak sudah bersedia
Malah, menurutnya ketika itu, kedua-dua keluarga sudah bersedia sepenuhnya untuk majlis tersebut diadakan.
“Dari segi keluarga memang semuanya sudah bersedia. Cuma persiapan kami ketika itu baru sekitar separuh siap dan masih ada beberapa perkara seperti pemilihan tarikh serta lokasi yang perlu dimuktamadkan.
“Apabila semuanya sudah diputuskan nanti, kami akan umumkan kepada semua,” katanya.
Nas dan Tiz ditemui di Majlis Pembukaan Butik Royal Sembilan di Bangsar Shopping Centre, semalam.
Ditemui di majlis pembukaan Royal Sembilan
Royal Sembilan merupakan rumah fesyen mewah kontemporari yang diasaskan oleh Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Besar Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir Almarhum Tuanku Ja’afar yang membuka butik utamanya di Bangsar Shopping Centre (BSC).


Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tunku Puteri Jawahir bersama Yang Amat Mulia Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Almarhum Tuanku Ja’afar dan dihadiri kerabat diraja, tokoh industri, penggiat fesyen, media serta selebriti seperti Tiz, Winnie K, Layla Sania, Azura Zainal dan ramai lagi.


Terletak di Aras 1 BSC, butik utama pertama Royal Sembilan direka sebagai destinasi gaya hidup yang menggabungkan fesyen, seni dan budaya dalam satu ruang. Jenama itu mengangkat warisan diraja Negeri Sembilan menerusi rekaan kontemporari yang menampilkan karya seni cetakan digital asli, diinspirasikan daripada landskap, alam semula jadi serta identiti budaya negeri berkenaan.
Koleksi terbaharu turut memberi penghormatan kepada Bungolado, bunga rasmi Negeri Sembilan yang diterjemahkan ke dalam corak dan siluet moden.
The post Susun Semula Perancangan, Tiz Zaqyah & Nas Amer Sasar Kahwin Hujung Tahun first appeared on OHBULAN!.



★𝗧𝗜𝗭 𝗭𝗔𝗤𝗬𝗔𝗛 𝗥𝗔𝗭𝗔𝗞★
(@tiz.zaqyah)

