Anggota parlimen PKR, Lee Chean Chung meluahkan kecaman penuh kekecewaan terhadap kegagalan PH yang didakwa gagal mempertahankan semangat "reformasi", sambil memberi bayangan bahawa Parti Bersama mungkin menjadi gagasan baharu bagi cita-cita berkenaan.
Menyampaikan pemikirannya mengenai perkara itu menerusi hantaran di media sosial malam tadi, Lee turut berkongsi beberapa keping gambar dia menghadiri majlis penghargaan sukarelawan pilihan raya negeri Johor di ibu pejabat Bersama di Puchong, semalam.
“Roh perubahan yang lahir daripada perjuangan rakyat lebih dua dekad lalu kini semakin nazak.
“Ia sedang dicekik oleh mereka yang terlalu selesa dengan kuasa, sehingga sanggup mengorbankan cita-cita reformasi demi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.
Dalam hantaran di Facebook, Lee turut mengesahkan dia menghadiri majlis itu kerana tidak lagi melihat semangat "reformasi" hidup dalam PH, walaupun ia pernah menjadi mesej teras gabungan berkenaan sebelum ini.
“Namun saya percaya, semangat yang lahir daripada rakyat tidak akan mati. Ia akan terus mencari wadah baharu, pentas baharu, dan kepimpinan yang benar-benar berani memperjuangkannya.
“Dan saya hadir hari ini untuk mencari, bertemu, dan bersama-sama mereka yang masih percaya bahawa reformasi bukan sekadar slogan pilihan raya, tetapi satu amanah yang mesti ditunaikan,” kata anggota parlimen Petaling Jaya itu.

Bulan lalu, Lee menyerahkan peletakan jawatannya sebagai ahli majlis pimpinan pusat PKR selepas menjadi anggota parlimen PKR kedua yang hilang akses kepada portal dalam talian MyKhas, yang digunakan antara lain untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan parlimen.
Lee dan rakan anggota parlimen PKR, Wong Chen mendakwa sekatan itu mungkin mempunyai kaitan dengan penjajaran politik mereka dengan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, yang memimpin Bersama bersama bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Meskipun Jabatan Perdana Menteri mengambil maklum aduan Lee dan Wong berhubung sekatan akses ke portal MyKhas, kedua-dua anggota parlimen berkenaan turut dikenakan surat tunjuk sebab daripada jawatankuasa disiplin PKR ekoran kehadiran mereka pada majlis Bersama sebelum sekatan itu dikenakan.

Dalam hantaran terbaharunya, Lee mengemukakan cabaran serupa seperti yang dinyatakan Wong sebelum ini, yang mencabar PKR supaya mengambil tindakan disiplin lebih tegas terhadapnya, termasuk pemecatan daripada parti.
“Saya memilih untuk terus berdisiplin dan menghormati keputusan parti. Namun balasannya ialah peruntukan untuk rakyat disekat. Tiada siasatan. Tiada peluang untuk didengar. Tiada proses yang adil.
“Hukuman dijatuhkan tanpa bicara. Jika itulah standard yang mahu dijadikan amalan, maka mengikut logik yang sama, esok lusa saya juga boleh dipecat.
“Tidak perlu siasatan. Tidak perlu pendengaran. Tidak perlu peluang mempertahankan diri.Silakan,” katanya.
Lee turut menyenaraikan beberapa isu yang mencetuskan kekecewaannya terhadap pentadbiran semasa pimpinan presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, termasuk penangguhan di Dewan Rakyat membabitkan beberapa perubahaan yang dijanjikan.

“Had tempoh jawatan Perdana Menteri masih belum dilaksanakan. Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih tertangguh.
“Akta Kebebasan Maklumat yang membolehkan rakyat mengakses maklumat kerajaan secara telus juga masih tidak menjadi kenyataan.
“Lebih mengecewakan, Akta Pembiayaan Politik yang sekian lama dijanjikan terus dibiarkan sepi,” kata Lee dengan nada kesal.
Mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perubahan Iklim yang masih belum dibentangkan di Dewan Rakyat, dia memberi amaran kebajikan rakyat mungkin terancam jika cadangan undang-undang berkenaan terus diketepikan.
“Tidak lama lagi, Kesatuan Eropah akan mula mengenakan mekanisme pelarasan karbon ke atas import tertentu. Jika kita terus berlengah, hasil yang sepatutnya boleh dipungut dan digunakan di dalam negara akhirnya akan mengalir ke luar negara.
“Dana itu sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu rakyat menghadapi kesan perubahan iklim — mengurangkan risiko banjir, melindungi sektor pertanian, menangani hakisan pantai, meningkatkan daya tahan negara, dan mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon,” kata Lee..
Katanya, dakwaan rangka kerja itu ditangguhkan kononnya demi mengelakkan beban kepada rakyat hanyalah alasan sambil menjelaskan dengan reka bentuk dasar yang betul, “pencemar terbesar” akan menanggung kos manakala hasilnya boleh dipulangkan kepada rakyat dan digunakan untuk memperkukuh daya tahan negara.
Dia juga menegaskan walaupun PH sebelum ini lantang mengkritik penentangnya seperti Najib Razak, Muhyiddin Yassin, dan Ismail Sabri berhubung skandal yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri berkenaan, namun tiada langkah konkrit diambil untuk mencegah isu sedemikian PH memegang kuasa Persekutuan.

“Kita sengaja mengabaikan punca yang melahirkan skandal-skandal ini sejak sekian lama — sistem pembiayaan politik yang tidak telus, tidak terkawal, dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta rasuah.
“Selagi akar masalah ini tidak diselesaikan, skandal baharu akan terus berulang, tidak kira siapa yang memerintah,” kata Lee.





