PRN NEGERI SEMBILAN l Seorang calon bebas yang bertanding di kerusi Sri Tanjung berdepan masalah selepas MCMC menyerahkan kertas pertuduhan jenayah kepadanya petang ini.
Salinan notis yang dilihat oleh Malaysiakini menyatakan bahawa Islah Wahyudi Zainudin, 46, diperintahkan hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 11 Ogos untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurut pengurus kempen media sosialnya, Harris Nasril, kes itu melibatkan hantaran Instagram yang dimuat naik oleh Islah pada Januari lalu yang menyentuh kerabat diraja Negeri Sembilan.
Hantaran itu juga memaparkan Islah mempersoalkan mengapa banyak nama tempat di Negeri Sembilan menggunakan nama Inggeris dan bukannya Melayu. Ia disertai dengan lakaran tiga lelaki, dengan salah seorang daripada mereka memegang tin minuman yang mempunyai logo seakan-akan DAP, di samping belon percakapan yang mempersendakan frasa "Daulat Tuanku".
Dia dijangka dituduh memuat naik kandungan yang “jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain”, satu kesalahan yang boleh dihukum denda sehingga RM500,000, atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.
Harris memberitahu Malaysiakini bahawa akaun Instagram Islah turut disekat di Malaysia oleh Meta atas permintaan MCMC.

Malaysiakini sudah menghubungi MCMC untuk mendapatkan ulasan.
Islah bertanding di kerusi Sri Tanjung menentang empat calon lain, termasuk penyandang G Rajasekaran daripada PH, A Achutan daripada BN, Leevinesh Murugan daripada Bersatu, dan seorang lagi calon bebas A Saravanan, yang menggunakan simbol pokok.
Januari lalu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mededahkan dua aktivis yang menentang pencerobohan tanah bagi pembinaan kuil haram, Tamim Dahri Abdul Razak dan Islah Wahyudi telah diambil tindakan oleh pihak polis termasuk menahan seorang daripada mereka.

Hari ini, Tamim Dahri dihadapkan di Mahkamah Majistret di Langkawi atas dakwaan merosakkan objek suci agama Hindu iaitu tombak bercabang tiga atau “soolam”, dengan pengetahuan bahawa perbuatan memijak objek itu adalah menghina agama Hindu.
Dia mengaku tidak bersalah dan diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.





