Dengan pelaburan mencecah RM1.8 juta, pempengaruh dan usahawan Ashhry Atan terus mengembangkan empayar perniagaannya menerusi pembukaan cawangan kedua restoran Ashhryshoshedap di R&F Santorini, Johor Bahru.
Artikel Berkaitan: Ashhry Buat Kejutan Istimewa Buat Jururawat, Chef ‘Ashhryshoshedap’ Masuk Dapur Seawal 6 Pagi
Artikel Berkaitan: Sambutan ‘Birthday’ Anas Zahrin Persis Konsert! Dayang, Hael, Nadeera & Liza Hanim Antara Yang Buat Persembahan
Ashhry pejam mata belanja besar

Menurut Ashhry yang sudah lima tahun berpengalaman dalam industri makanan dan minuman, restoran berkonsepkan Santorini Mediterranean itu dibangunkan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan, bukan sahaja dari segi reka bentuk premis, malah turut menitikberatkan aspek kualiti makanan dan perkhidmatan.
Saya nak pelanggan ingat kedai cantik, makanan sedap dan servis bagus.
Sebab itu semua saya buat top notch, dari segi interior, kelengkapan yang digunakan. Kebanyakan semua ditempah khas antaranya meja, kerusi dan hiasan di dalam kedai.
Bukan jumlah yang saya nak hebahkan tetapi saya nak pelanggan nikmati kelainan yang ditonjolkan.
Cawangan kedua itu mampu menampung sehingga 100 pelanggan pada satu-satu masa, manakala cawangan pertamanya mempunyai kapasiti sekitar 300 pelanggan.
Dugaan kena sihir & kedai kena pecah masuk

Di sebalik kejayaan tersebut, Ashhry mengakui perjalanan membina jenamanya bukanlah mudah apabila pernah berdepan pelbagai ujian termasuk dakwaan terkena gangguan sihir serta menjadi mangsa rompakan.
Menurut Ashhry, kejadian itu berlaku kira-kira satu hingga dua tahun selepas restoran pertamanya di Nong Chik Riverside mula beroperasi.
Bila cakap pasal sihir dan rompak ni, rasa sedih sangat. Masa mula-mula buka dekat Nong Chik dulu, selepas setahun dua, saya kena sihir.
Orang hantar telur yang ada gumpalan benang, orang tabur duit syiling depan kedai dan dalam bekas-bekas. Staf hari-hari bergaduh. Pantang cakap sikit, terus nak bertumbuk. Rasa ada benda tak kena.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin pelik apabila pelanggan, terutama kanak-kanak, turut menunjukkan reaksi luar biasa ketika berada di dalam premis.
Mak saya tolong tengokkan dan memang betul ada orang hantar ‘benda’. Budak-budak masuk kedai pun menangis-nangis, rasa panas.
Tapi Alhamdulillah kita tawakal dan berdoa, akhirnya benda tu hilang. Tapi dugaan tak berhenti di situ. Baru-baru ini kedai kena rompak pula.
Mengulas lanjut, Ashhry berkata kejadian rompakan berlaku pada awal pagi apabila seorang lelaki bersenjatakan parang memecah masuk ke dalam restoran.
Kejadian berlaku pukul 3:48 pagi. Pencuri tu bawa parang, dia tetak pintu kaca, dia masuk dan pecahkan laci kaunter.
Dia ambil duit. Masa tu kita tinggalkan peti cash dalam RM600 untuk tukaran duit pagi, dia ambil semua. Kerugian termasuk pintu yang pecah dalam RM5,000 juga.
Tapi Alhamdulillah kita ada insurans dan polis Johor pun sangat efisien, dalam dua hingga tiga hari perompak tu dapat ditangkap. Rupanya dia penagih dadah.
Menurut Ashhry, segala ujian yang dilalui dianggap sebagai sebahagian daripada perjalanan dalam membina empayar perniagaan.
Majlis pembukaan itu turut dihadiri rakan-rakan selebriti dan pempengaruh seperti Rozita Che Wan, Zain Saidin, Nabil Mahir, Ayda Jebat, Cik Epal, Sally Whoo dan Yuti.
Selain menawarkan suasana yang lebih eksklusif dan santai, cawangan baharu itu turut memperkenalkan pilihan menu yang lebih premium berbanding cawangan pertama.
Antara tarikan utama termasuk hidangan stik, wagyu, lobster serta pelbagai pilihan makanan laut segar yang melengkapkan menu sedia ada.
Harga makanan pula ditawarkan pada kadar berpatutan bermula RM20 hingga RM500, sekali gus memenuhi keperluan pelbagai kelompok pelanggan.
Untuk rekod, Ashhryshoshedap pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025, dengan antara menu popularnya ialah hidangan berasaskan telur masin, asam pedas ikan pari serta pencuci mulut unik, Kura-Kura Mencintaimu.
The post [VIDEO] Labur RM1.8 Juta Buka Restoran Kedua, Ashhry Dedah Pernah Kena Sihir & Dirompak first appeared on OHBULAN!.





