Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan ke atas seorang lelaki selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis di sebuah hotel di Bukit Bintang, Mac tahun lepas.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sali Sangsangan, 39, yang membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap 17 Mac 2025.
Lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 311.1 gram di sebuah hotel di Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 1.20 pagi 17 Mac 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memaklumkan mahkamah bahawa pertuduhan pilihan ditawarkan kepada lelaki itu jika dia ingin mengaku bersalah selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi dikemukakannya untuk mengurangkan pertuduhan.
Peguam M. Manoharan yang mewakili Sali merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan selain hukuman seharusnya mengambil pendekatan pemulihan berbanding hanya hukuman.
“Anak guam saya telah insaf. Tempoh lebih setahun berada di penjara memberikan kesedaran dan dia telah bertaubat serta menyesal akan perbuatannya,” katanya yang memaklumkan lelaki itu didakwa atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B akta sama sebelum ini.
Faridah Nurdinie memohon hukuman maksimum mengambil kira kepentingan awam yang mengatasi kepentingan peribadi lelaki itu selain kesalahan berkaitan dadah adalah serius.
“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jumlah berat dadah dalam kes ini besar, iaitu lima kali ganda had statutori pemilikan,” katanya.





