Tentera AS memintas sekurang-kurangnya tiga kapal tangki berbendera Iran di perairan Asia dan mengalihkan haluan mereka dari kedudukan berhampiran India, Malaysia dan Sri Lanka, kata sumber perkapalan dan keselamatan pada Rabu.
Laporan Reuters menyebut Washington mengenakan sekatan terhadap perdagangan laut Iran manakala Tehran melepaskan tembakan ke arah kapal bagi menghalang mereka belayar melalui laluan di Selat Hormuz ke pintu masuk ke negara-negara Teluk. Hampir dua bulan selepas AS dan Israel memulakan peranang mereka terhadap Iran, terdapat sedikit tanda-tanda bahawa rundingan damai akan disambung semula.

Penutupan selat itu telah mengganggu bekalan satu perlima daripada bekalan minyak dan gas dunia, serta menyebabkan krisis tenaga global. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pasukan AS juga merampas sebuah kapal kargo dan sebuah kapal tangki minyak. Iran pula berkata ia telah menahan dua kapal kontena yang cuba belayar keluar melalui Selat Hormuz pada Rabu selepas melepaskan tembakan ke arah mereka dan sebuah lagi kapal, rampasan pertamanya sejak peranang bermula.
AS juga telah mengubah haluan sekurang-kurangnya tiga lagi kapal tangki minyak yang mengibarkan bendera Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini, menurut dua sumber perkapalan AS dan India serta dua sumber keselamatan maritim Barat berasingan yang bercakap kepada Reuters pada Rabu.
Tentera AS tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan untuk ulasan mengenai pemintasan itu.
Antaranya adalah kapal tangki super Deep Sea berbendera Iran, yang membawa sebahagian muatan minyak mentah dan kali terakhir dilihat pada transponder penjejakan awamnya berada di luar pantai Malaysia seminggu lalu, menurut sumber dan data penjejakan kapal di platform MarineTraffic.

Sevin yang mengibarkan bendera Iran dan jauh lebih kecil, mempunyai kapasiti maksimum 1 juta tong dan membawa 65 peratus daripada muatannya, turut dipintas. Kapal itu kali terakhir dilihat di luar pantai Malaysia sebulan lalu, menurut data penjejakan kapal.
Kapal tangki super Dorena berbendera Iran juga dipintas, ia sarat dengan 2 juta tong minyak mentah, dan kali terakhir dilihat di luar pantai selatan India tiga hari lalu, menurut sumber dan data penjejakan kapal di platform MarineTraffic.
Pusat Kawalan AS (Centcom) dalam satu hantaran di X pada Rabu berkata, bahawa Dorena berada di bawah pengiring kapal pemusnah Tentera Laut AS di Lautan Hindi selepas cuba melanggar sekatan.
Reuters juga memetik sumber perkapalan, yang memaklumkan bahawa tentera AS juga telah memintas kapal tangki Derya berbendera Iran. Kapal itu dilaporkan gagal memunggah muatan kargo minyak Iran di India sebelum pengecualian AS terhadap pembelian minyak mentah Iran tamat pada Ahad. Kapal itu kali terakhir dilihat di luar pantai barat India pada Jumaat, menurut data MarineTraffic.
Centcom berkata pada Rabu bahawa sejak permulaan sekatan terhadap kapal yang memasuki atau keluar dari pelabuhan Iran, pasukan AS mengarahkan 29 kapal untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan.

Tentera AS tidak menyenaraikan semua kapal yang dipintas dan tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan untuk ulasan mengenai Derya dan Deep Sea.
Sumber keselamatan maritim ketiga berkata tentera AS mahu menyasarkan kapal Iran jauh dari Selat Hormuz dan di perairan terbuka bagi mengelakkan sebarang risiko periuk api hanyut semasa operasi.





