Portal gaya hidup digital, The Vocket melancarkan kempen kesihatan dan kesejahteraan ‘Sihat Itu Seksi’ bagi menggalakkan masyarakat lebih peka terhadap penjagaan kesihatan.
‘Sihat Itu Seksi’

Kempen yang berlangsung dari September hingga Oktober 2026 itu dilancarkan bersempena sambutan Hari Malaysia.
Menerusi kempen berkenaan, The Vocket mahu mengetengahkan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat tanpa perlu melakukan perubahan secara drastik.
Sebaliknya, orang ramai digalakkan bermula dengan langkah mudah seperti menjaga pemakanan, meningkatkan aktiviti fizikal dan membina rutin harian yang lebih sihat.
Usaha ini dilihat penting susulan data Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2025 yang merekodkan 254,000 daripada lebih 1.2 juta orang dewasa yang menjalani saringan mengalami masalah obesiti.
Antara pengisian utama kempen ialah Cabaran Sihat Dalam 30 Hari yang akan disertai lima ahli pasukan The Vocket. Lima pembaca turut diberi peluang menyertai cabaran sama, dengan pemenang utama bakal menerima RM500 serta hadiah daripada rakan usaha sama kempen.
Peserta akan mendapat bimbingan jurulatih peribadi berpengalaman dalam kecergasan dan pengurusan berat badan, selain tip berkaitan pemakanan serta senaman mudah.
Kempen ini turut mengetengahkan kisah transformasi sebenar, termasuk usaha menurunkan berat badan, meningkatkan aktiviti fizikal dan membina rutin lebih konsisten.
Fokus ‘Sihat Itu Seksi’ bukan sekadar kepada penurunan berat badan, tetapi turut merangkumi kecergasan, pemakanan, keyakinan diri dan kesejahteraan mental.
Menurut Pengarah Kempen Sihat Itu Seksi, Azam Anwar, penyertaan pasukan The Vocket bertujuan menunjukkan bahawa perubahan gaya hidup boleh dimulakan oleh sesiapa sahaja.
Semoga dengan adanya kempen ini, literasi tentang kesihatan akan meningkat dalam masyarakat kita.
Disebabkan itu, pasukan The Vocket sendiri turut serta dalam Cabaran Sihat Dalam 30 Hari ini kerana kami mahu tunjuk bahawa jika kami boleh buat, anda juga boleh buat.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan kempen menerusi platform The Vocket dan tanda pagar #SihatItuSeksi di media sosial.
The post The Vocket Lancar ‘Sihat Itu Seksi’, Tawar RM500 Untuk Cabaran Sihat 30 Hari first appeared on OHBULAN!.





