PARLIMEN | Kementerian Pendidikan akan meningkatkan kekerapan pelaksanaan saringan kesihatan mental di sekolah daripada sekali kepada dua kali setahun sebagai sebahagian daripada langkah reformasi segera bagi memperkukuh kesejahteraan murid.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (PH–Nibong Tebal) menegaskan bahawa di bawah langkah reformasi segera itu, kesihatan mental murid mesti menjadi keutamaan utama di setiap sekolah.
“Memang semua kita terkesan dengan isu kesihatan mental anak-anak murid kita. Saya tegaskan dalam reformasi segera ini bahawa perkara nombor satu yang mesti diberi perhatian oleh semua sekolah ialah kesihatan mental.
“Apa yang kita laksanakan dalam kapasiti kita sekarang ialah saringan ‘Minda Sihat’ untuk anak-anak kita, yang akan berlangsung dua kali setahun.
“Daripada laporan saringan itu, kita lihat tanda-tanda kemurungan, tanda-tanda perlukan sokongan dan intervensi.
"Anak ini akan dirujuk kepada pihak yang lebih berautoriti termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).”
Dia turut memberi jaminan bahawa usaha campur tangan psikiatri sudah pun dijalankan, selaras dengan pelaksanaan reformasi segera tersebut.
“Pandangan tentang intervensi psikiatri sedang berlangsung. Dengan reformasi segera ini, kita akan memperkukuh lagi dengan latihan serta program-program termasuk intervensi-intervensi segera,” katanya.
[Berita penuh menyusul]





