Seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng diserang oleh beberapa individu awal hari ini di rumahnya.
Sumber yang rapat dengan perbicaraan memberitahu Malaysiakini bahawa mangsa telah diugut secara lisan sebelum diserang secara fizikal.
Ketika dihubungi, ketua pendakwa raya Wan Shahruddin Wan Ladin mengesahkan kejadian itu dan berkata pasukannya sedang menunggu arahan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengenai tindakan seterusnya, termasuk kemungkinan mendapatkan perlindungan mahkamah terhadap mangsa.
Dia juga berkata perkara itu akan dibangkitkan pada prosiding mahkamah akan datang pada 19 Ogos.
Sementara itu, New Straits Times melaporkan terdapat 10 penyerang, dan mereka telah mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa.
"Penyerang juga memberi amaran kepadanya supaya duduk di rumah dan tidak menjadi wira," petik NST.
Mangsa mengalami pelbagai kecederaan di muka dan tangan.





