Bersih mengucapkan syabas susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk memberikan lebih autonomi kepada parlimen.
Kumpulan pendesak dan pemantau sistem pilihan raya itu bagaimanapun berkata “detik bersejarah ini adalah permulaan”.
“Seperti semua maklum, RUU yang diluluskan ini adalah versi hibrid yang bukanlah versi ideal autonomi sepenuhnya,” kata gabungan itu.
Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, yang antara lain untuk mengasingkan perkhidmatan parlimen daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) bagi melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota perkhidmatan parlimen, memantau kewangan parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berkaitan.

Sementara itu, Bersih juga berkata tempoh peralihan dua tahun yang dijanjikan untuk mencapai tujuan pewujudan semula akta itu perlu terus didesak oleh semua pihak.
Begitu juga berkata proses libat urus, terutamanya melalui Jawatankuasa Bersama antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta penyertaan bersama anggota masyarakat sivil, harus diteruskan.
Sementara itu, Bersih berkata untuk terus pemerkasaan parlimen, pindaan peraturan mesyuarat perlu dilakukan selepas ini.
Perkara itu, kata Bersih, bagi memperkukuh fungsi jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen.
“Hal ini akan memastikan ahli parlimen daripada penyokong kerajaan dan pembangkang dapat menjalankan fungsi semak dan imbang yang sebenar kepada badan eksekutif, sekali gus memberi tumpuan hakiki mereka untuk membahas polisi-polisi kerajaan dengan lebih berkesan,” katanya.
Bersih juga mengulangi tuntutan supaya diwujudkan jawatankuasa tetap khusus berkaitan hal ehwal pilihan raya dengan status sama seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Katanya, ia tidak boleh diwujudkan berdasarkan keperluan kerajaan yang memerintah kerana pilihan raya adalah asas kepada legitimasi kerajaan dan demokrasi negara.
“Kami menyeru semua pihak, termasuk masyarakat sivil dan rakyat Malaysia keseluruhannya, untuk terus memainkan perananan dalam menuntut reformasi institusi demi sebuah demokrasi yang lebih matang dan berfungsi.
“Dengan adanya autonomi parlimen yang lebih kukuh ini, diharapkan sistem tadbir urus negara dan pembuatan dasar dapat diperkasakan serta membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat terbanyak,” katanya.





