Kumpulan pemantau alam sekitar, Rimbawatch, menggesa kerajaan Terengganu membatalkan rancangan mereka untuk membuka kawasan hutan bagi penanaman kelapa sawit di Kuala Nerus.
Menurut Rimbawatch, mereka bimbang projek yang akan dibangunkan termasuk di kawasan seluas 2,228 hektar dalam hutan paya gambut dara akan menjejaskan alam sekitar.
Katanya habitan untuk hidupan dari spesies terancam boleh hilang, selain menyebabkan stok karbon juga mengalami kesan negatif.
“Langkah mitigasi yang dicadangkan oleh penyokong projek adalah tidak mencukupi dan tidak munasabah memandangkan graviti impak alam sekitar yang dijangkakan tidak dapat dikurangkan.
"Tambahan pula projek itu tidak konsisten dengan dasar Malaysia dan Asean, selain bercanggah dengan piawaian komoditi antarabangsa dan pensijilan MSPO," kata NGO itu.
Tambahnya, ada kemungkinan projek berkenaan bukan saja haram secara teknikal malah juga mungkin tidak memberi faedah secara komersial.
Kenyataan tersebut dibuat merujuk kepada projek penanaman kelapa sawit, kelapa dan buah-buahan yang dirancang di atas tapak seluas 2228,67 hektar secara keseluruhan.
Keseluruhan projek yang dirujuk Rimbawatch itu terletak dalam bekas Hutan Simpan Belara. Ketika ini ia masih merupakan kawasan berhutan.
Bagaimanapun pendedahan kontroversi menunjukkan status hutan dara itu sudah dinyah warta pada tahun 2020.
Awal bulan ini, penilaian kesan alam sekitar (EIA) telah diterbitkan untuk projek yang dicadangkan oleh Pure Green Development Sdn Bhd itu.
EIA berkenaan kini di peringkat perundingan awam sehingga hari ini (12 Ogos). Selepas itu semua pandangan awam akan disemak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).





