32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Krisis NS: Umno tolak penangguhan 6 bulan, tuntut sidang khas DUN

    Shopee Sale

    Umno Negeri Sembilan mendesak agar satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan pada kadar segera bagi menamatkan ketidaktentuan politik yang sedang melanda pentadbiran negeri ketika ini.

    Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Jalaluddin Alias, berkata adalah dikhuatiri akan wujud ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri jika sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan.

    Mengundang ketidakstabilan

    Menurutnya, tempoh yang terlalu lama itu hanya akan mengundang ketidakstabilan dan menjejaskan kelancaran urusan kerajaan.

    Jalaluddin Alias

    "Jika mereka bertahan sehingga enam bulan (menangguhkan sidang DUN), kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah akan timbul, sekali gus dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

    "Malah, kesan daripada itu berkemungkinan akan membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu.

    “Oleh itu, sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri," katanya yang dipetik oleh Berita Harian, hari ini

    Jalaluddin yang juga adalah Adun Pertang menegaskan bahawa Yang di-Pertua DUN, MK Ibrahim Abd Rahman, memikul tanggungjawab besar untuk memanggil sidang tersebut demi mencari penyelesaian muktamad.

    "Langkah itu dilihat sebagai satu-satunya pilihan bagi mengembalikan keadaan kepada landasan biasa dan memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lebih stabil.

    "Pada pandangan saya, sidang khas dewan mesti dipanggil dalam masa terdekat, kita tiada pilihan kedua," katanya.

    'Takut bayang-bayang sendiri'

    Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mencabar Aminuddin supaya membubarkan DUN Negeri Sembilan bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

    Puad Zarkashi

    Puad berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan Aminuddin tidak akan dapat mentadbir negeri dengan lancar sekiranya terus memimpin kerajaan yang didakwanya lemah dan tidak mempunyai majoriti kukuh.

    "Jalan terbaik ialah bubar DUN dan buat pilihan raya negeri. Dapatkan mandat kukuh dari rakyat. Itu yang Hasni (Mohammad) lakukan masa dia jadi MB Johor.

    MENARIK:  Naluri keibuan gajah setia menanti anak yang dilanggar runtun hati ramai

    "Tindakan Aminuddin menangguhkan sidang DUN yang sudah dirasmikan memalukan. Dia takut bayang-bayang sendiri," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

    Dalam pada itu, Puad turut menepis dakwaan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa terdapat cubaan daripada Adun BN untuk menubuhkan "kerajaan tebuk atap" di negeri tersebut.

    Tegasnya, pendirian BN Negeri Sembilan adalah jelas dan tidak wujud sebarang pakatan dengan lima Adun PN bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

    "Kenapa samakan menarik balik sokongan dengan tebuk atap?

    "Tidakkah cadangan DAP untuk meletak jawatan menteri menjelang konvensyen DAP bulan Julai adalah hilang kepercayaan kepada PMX (Anwar Ibrahim)? Apakah itu tebuk atap?" soalnya merujuk kepada dakwaan sikap dwistandard pemimpin DAP tersebut.

    Persidangan DUN sepatutnya bersambung semula pada minggu ini selepas dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, namun menteri besar mengumumkan penangguhan mengejut ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

    Semalam, Jalaluddin turut memaklumkan bahawa Umno Negeri Sembilan sudah mengemukakan permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar bagi memaklumkan situasi terkini berhubung senario politik di negeri itu.

    Katanya, parti itu mahu menyembah maklum mengenai keputusan mereka menarik sokongan kepada Menteri Besar, Aminuddin Harun.

    Bagaiamanapun setakat hari ini, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, belum memberi perkenaan untuk menerima pemimpin Umno itu untuk menghadap.

    Isnin lalu, 14 Adun Umno Negeri Sembilan menyatakan hilang keyakinan terhadap Aminuddin selaku menteri besar dan mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan negeri.

    Secara keseluruhan DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Selain 14 diwakili Umno, 17 lagi merupakan kerusi PH. Baki lima lagi kerusi diwakili PN selaku pembangkang.

    Susulan pengumuman Umno itu, lima Adun PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah