Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, menyelar tuntutan Amanah yang menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa, Putrajaya, dan Labuan pada PRU ke-16 nanti.
Menurut Razlan tuntutan Amanah itu dibuat ketika negara berdepan dengan krisis dan menunjukkan parti terbabit seolah-olah memandang remeh apa yang sedang berlaku, sebaliknya terus bermain politik.
"Amanah dilihat semakin terperanangkap dalam sindrom ‘lupa daratan’.
"Ketika negara memerlukan kestabilan, mencari jalan terbaik untuk membantu perdana menteri menerajui negara dengan sempurna, mereka memilih untuk mencetuskan pergeseran sesama rakan sendiri.
"Nanti rakyat bukan saja hilang keyakinan, malah mula mempersoalkan sama ada perananan Amanah sebagai rakan gabungan benar-benar membina, atau sekadar menjadi beban yang hidup atas konflik yang dicipta sendiri," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Malam tadi Amanah secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding di 40 kerusi parlimen di seluruh negara pada PRU akan datang sebagai strategi memperkukuhkan parti tersebut.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, juga mengakui parti itu sedang mengintai kerusi Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan.
“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, kami menyasarkan untuk bertanding di lebih banyak kerusi berbanding PRU ke-15.
“Kalau kita bertanding atas nama PH dan ia merupakan pertandingan tiga penjuru, maka kami harapkan Amanah akan dapat bertanding di paling kurang tiga ataupun empat kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Bukan pentas uji nasib
Mengulas lanjut mengenai kerusi Titiwangsa yang kini disandang oleh Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, Razlan menyifatkan langkah Amanah itu sebagai pencerobohan adab dalam semangat kerjasama kerajaan Madani.
Razlan turut mempersoalkan niat sebenar Amanah dan mengingatkan parti komponen PH itu supaya tidak menjadikan kawasan berkenaan sebagai medan eksperimen "syok sendiri".
"Amanah perlu sedar dan lebih kerap mengukur baju di badan sendiri, bukannya cuba mencuri baju orang lain," katanya lagi.

Pada pandangan Razlan, alasan Amanah bahawa parti lain sudah banyak kerusi adalah hujah sangat dangkal dan memalukan.
"Ini bukan agihan bantuan zakat; ini adalah mandat rakyat," tambahnya lagi.
Razlan turut menyelar Amanah yang didakwanya berkelakuan seperti anak manja dalam politik kerana menuntut hak tanpa membuktikan jasa yang nyata di peringkat akar umbi.
Rakyat di kawasan seperti Putrajaya dan Labuan, kata Razlan, mahukan wakil yang sanggup turun padang menyelesaikan masalah setempat, bukannya sekadar muncul untuk menagih kerusi setiap kali musim pilihan raya tiba.
"Jangan ingat politik ini pentas uji nasib atau sarkas untuk mencari perhatian. Kalau niat masuk gelanggang sekadar mahu mencari gaduh dengan rakan sekutu, kita atur cara lain," katanya lagi.





