Menteri Ekonomi Rafizi Ramli tampil menjelaskan bahawa dia mengambil cuti dari tugas rasmi baru-baru ini bagi menangani isu dan aduan yang timbul berhubung pengundian parti.
Timbalan presiden PKR itu berkata dia telah mengemukakan permohonan cuti kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi meredakan keadaan di peringkat akar umbi, tanpa mengambil kira pihak yang membuat bantahan berhubung keputusan pengundian parti.
"Menyedari bahawa aduan-aduan dan isu yang timbul perlu diuruskan dengan harmoni, sebagai timbalan presiden, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan menguruskan perkara ini sepenuh masa, termasuk berjumpa dan mendengar sendiri isu yang dibangkitkan oleh pelbagai calon yang bertanding, tanpa mengira kumpulan.
"Masa yang diperlukan adalah panjang. Sewajarnya, kerja-kerja mengurus parti yang memerlukan masa khusus seperti ini tidak dicampuradukkan dengan tugas dan masa sebagai seorang menteri.
"Bagi saya, mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri adalah satu budaya politik baru yang wajar kita semai," katanya.





