Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhak menutup pusat jualan diesel subsidi kelolaan persatuan nelayan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hingga mengakibatkan ketirisan.
Amaran itu dibuat pengerusinya, Faiz Fadzil, ketika ditemui selepas program bersama nelayan di Pantai Sepat, dekat Kuantan, hari ini.
Dia berkata, LKIM sentiasa memandang serius soal integriti dan soal tadbir urus subsidi disediakan oleh kerajaan Madani kepada nelayan.
"Persatuan nelayan yang menguruskan bekalan diesel ini perlu tegas dengan SOP yang ditetapkan.
"Saya juga berpesan kepada nelayan yang terlibat dengan penggunaan diesel (subsidi) supaya memahami bahawa ia adalah subsidi dan bukan soal hak mereka.
"Ini adalah peruntukan (dikeluarkan) kerajaan untuk mengurangkan kos operasi mereka," tegasnya.
Berdasarkan rekod, kerajaan Madani menyediakan subsidi diesel menerusi Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan mencecah 70 juta liter sebulan.

Secara umumnya, hampir RM1 bilion dibelanjakan kerajaan bagi tujuan penyaluran diesel subsidi kepada nelayan setiap tahun.
Faiz berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu yang menyaksikan Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar didenda RM320,000 kerana menjual diesel secara borong tanpa lesen sah.
Berdasarkan kenyataan media, siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mendapati persatuan berkenaan memiliki lesen untuk menjual diesel secara runcit kepada nelayan.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, persatuan berkenaan membenarkan sebuah syarikat yang tidak mempunyai lesen berkaitan untuk mengurus operasi penjualan bahan api berkenaan.
Perbuatan tersebut bercanggah dengan syarat lesen runcit barang kawalan berjadual yang menetapkan bekalan diesel hendaklah dijual terus kepada bot nelayan tempatan yang berdaftar.
Mengulas lanjut, Faiz memaklumkan LKIM sedia memberi kerjasama penuh kepada agensi penguat kuasa menyiasat berkaitan penyalahgunaan subsidi diesel dalam kalangan persatuan nelayan.
"Apa saja kesalahan kita akan mengambil tindakan tegas dan ada juga tindakan undang-undang oleh pihak atau agensi penguat kuasa, kita serahkan kepada mereka untuk uruskan.
"Di peringkat LKIM, kita akan mengambil tindakan tegas, yang terlibat dengan kes ketirisan serius kita tutup dan seterusnya kita akan beri kerjasama penuh kepada pihak KPDN untuk menyiasat dan ambil tindakan," jelasnya.





