Kerajaan negeri mempertahankan tindakan pihak berkuasa tempatan yang merobohkan sebuah kuil Hindu di Kangar pada Khamis lalu dengan menegaskan ia dibuat mengikut undang-undang.
Exco Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan serta Sumber Manusia dan Modal Insan Perlis, Izizam Ibrahim, berkata kuil tersebut dibina di atas tanah kerajaan negeri dan dibangunkan tanpa izin.
Dia juga menjelaskan langkah merobohkan kuil berkenaan dibuat selepas kerajaan negeri mengadakan sesi perbincangan dengan jawatankuasa pengurusan rumah ibadat Hindu itu.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut menasihati mereka supaya mencari lokasi lain yang sesuai.
"Keputusan (untuk merobohkan) tidak dicapai dalam masa sehari dua sahaja.
“Kami telah meneliti perkara ini dari pelbagai aspek termasuk undang-undang, yang saya namakan sebagai binaan di atas tanah yang tidak sah diduduki,” katanya kepada Malaysiakini.
Izizam juga memberitahu rumah-rumah ibadat lain – jika mahu dibina – juga diperlukan mendapat kelulusan daripada pihak yang berkenaan serta mematuhi setiap peraturan.
Hal itu, katanya, turut terpakai untuk pembinaan masjid.
Terdahulu Adun Titi Tinggi itu diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang semalam mengecam kerajaan negeri ekoran perobohan kuil tersebut.
Menghantar mesej yang salah
Rayer turut menyifatkan PN – yang mentadbir Perlis – sebagai "tidak sensitif dan tidak bertimbang rasa terhadap masyarakat majmuk, kumpulan etnik dan agama lain".
Izizam berkata Perlis tidak ada masalah dengan masyarakat bukan Islam mahu membina rumah ibadat masing-masing namun ia mestilah dibuat di atas tapak yang telah mereka kenal pasti dengan betul.
Selain kuil Hindu, katanya, di Perlis juga ada binaan tokong Buddha serta gereja dengan semuanya dibenarkan beroperasi apabila dibina di atas tanah yang sah.

“Macam orang Melayu, kita ada tanah wakaf atau tanah persendirian (yang boleh dibina masjid), atau kita akan minta pandangan jabatan agama terlebih dulu.
“Di Perlis, semua tokong Cina ada tanah milik sendiri, macam gereja pula mereka buat di bangunan milik persendirian,” katanya lagi.
Sementara itu, Majlis Ulama Umno dan Pemuda PKR Perlis turut memberi komen terhadap isu berkenaan dengan mempertahankan tindakan kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataan, timbalan pengerusi badan itu, Khairuddin Aman Razali, berkata walaupun orang bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka di Malaysia, mereka masih perlu mematuhi undang-undang.

Dia turut berkongsi sentimen dengan Izizam terkait prosedur undang-undang dengan mengatakan bahawa masjid dan surau juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkausa setempat.
Malah, katanya, tanah rizab kerajaan pun tidak boleh dijadikan tempat ibadat agama sewenang-wenangnya.
Mengenai kenyataan Rayer yang mengkritik tindakan kerajaan Perlis, Khiaruddin berkata, ia menghantar mesej yang salah terhadap kedudukan ahli parlimen selaku penggubal undang-undang.
“Apatah lagi beliau sendiri adalah pengamal perundangan,” katanya.
Pemuda PKR Perlis pula menggesa semua pihak agar tidak menjadikan isu kuil itu sebagai polemik agama dan perkauman kerana ia berisiko mewujudkan ketegangan dalam masyarakat.
Ketuanya, Azzin Izzad Bahanudin, berkata kebebasan untuk mengamalkan agama yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia tidak bermakna seseorang boleh mengetepikan undang-undang mengenai pemilikan tanah dan pembinaan.
"Pada masa yang sama, Pemuda PKR Perlis terus menegakkan hak masyarakat Hindu dan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.
"Sebarang penguatkuasaan yang melibatkan tempat ibadat juga mesti dijalankan dengan berhemah dan sensitiviti.
"Jangan mempolitikkan agama. Hormati undang-undang, hormati hak beragama dan pelihara keharmonian," katanya.





