Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli membangkitkan kemungkinan pemimpin PAS yang memfitnah pemimpin DAP sebagai saudara kepada individu yang tiada kaitan persaudaraan dengan mereka, bukan kerana tidak tahu.
Sebaliknya, dia berkata pemimpin PAS seumpamanya mungkin melakukannya semata-mata kerana menganggap menyebarkan kebencian merupakan strategi genius.
"Satu lagi kemungkinan, mereka sebenarnya tahu Lim Kit Siang bukan sepupu Lee Kuan Yew dan Hannah Yeoh bukan cucu cicit YTL.
"Tapi mereka merasakan jika sentimen ini dimainkan, ia akan meniup api kebencian perkauman kepada orang Melayu demi sokongan politik.
"Mereka mungkin rasa ini strategi politik yang genius, tapi ia memberi gambaran jika mereka bergayut kepada kebencian perkauman untuk berkuasa dan bukannya kecekapan mentadbir, rosaklah negara," kata Rafizi dalam video yang disiarkan di media sosial hari ini.

Kemungkinkan lain, katanya, pemimpin PAS sebegini sama ada malas untuk mengesahkan maklumat atau tidak mementingkan ilmu dan fakta.
Rafizi merujuk kepada Ketua Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad.
Dua minggu lalu Razman secara palsu mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh adalah anak kepada pemilik syarikat YTL, Yeoh Tiong Lay.
Razman telah meminta maaf, tetapi Yeoh mengancam untuk menyamannya.
Sementara itu, Mastura pada Nov 2023 mendakwa bahawa Kit Siang adalah sepupu kepada Lee dan bekas pemimpin komunis Chin Peng.
Dia seterusnya mendakwa Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mempunyai kaitan dengan Kit Siang dan anaknya Guan Eng.
Kit Siang, Guan Eng, dan Kok berjaya menyaman Mastura kerana fitnah dan kini sedang membuat rayuan keputusan itu.





