Kerajaan Perak digesa menetapkan umur minimum 18 tahun bagi kelayakan menerima insentif perkahwinan pertama RM500 bagi mengelakkan golongan bawah umur turut menerima bantuan itu.
Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar, berkata perkara itu perlu diperjelaskan sebelum cadangan berkenaan dimuktamadkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan dipertimbangkan dalam Belanjawan Perak 2027.
Katanya, cadangan itu bertujuan membantu pasangan muda meringankan beban kewangan perkahwinan, namun penggunaan julat “belia berumur 15 hingga 35 tahun” menimbulkan persoalan mengenai kelayakan golongan bawah umur.
"Niat di sebalik cadangan ini, iaitu membantu pasangan muda yang baru memulakan kehidupan, merupakan satu matlamat dasar yang sah dan boleh difahami. Tiada apa-apa dalam kenyataan pengerusi jawatankuasa Belia yang menunjukkan sebarang niat tersembunyi untuk menggalakkan perkahwinan kanak-kanak.
"Bagaimanapun, seperti yang dilaporkan, skim ini menyasarkan "belia berumur 15 hingga 35 tahun" berpandukan Akta Pembangunan Belia dan Sukan 2007, tanpa menyatakan umur minimum untuk kelayakan perkahwinan yang sebenar.
"Kelompangan ini perlu ditutup sebelum cadangan ini diteruskan dengan lebih lanjut," katanya.
Sangetha berkata isu itu penting kerana undang-undang Malaysia masih membenarkan perkahwinan bawah umur dalam keadaan tertentu.
Bagi perkahwinan sivil, umur minimum standard ialah 18 tahun, manakala undang-undang keluarga Islam menetapkan 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki, dengan hakim Mahkamah Syariah mempunyai budi bicara dalam kes tertentu.
Dia berkata Selangor dan Kedah masing-masing telah menaikkan had umur minimum perkahwinan perempuan kepada 18 tahun pada 2018 dan 2022, sedangkan Perak masih belum berbuat demikian.
"Negeri tersebut juga mempunyai rekod sejarahnya yang tersendiri baru-baru ini di mana perkahwinan bawah umur menyebabkan gadis remaja tercicir daripada persekolahan, menurut data Jabatan Perangkaan, jelasnya.
Menurut Sangetha, julat 15 hingga 35 tahun itu berkemungkinan sekadar diambil daripada takrifan “belia” di bawah Akta Pembangunan Belia dan Sukan 2007 dan bukannya keputusan khusus untuk melayakkan remaja berusia 15 tahun menerima insentif.
"Peraturan kelayakan sebenar bagi skim ini masih belum diputuskan dengan pihak Exco sebelum bulan November.
"Kemungkinan itulah sebabnya perkara ini mesti diperbetulkan sekarang, ketika ia masih berstatus usul dan belum menjadi satu butiran belanjawan," uajrnya.
Sehubungan itu, Wanita PKR menggesa kerajaan negeri menetapkan umur minimum 18 tahun, mensyaratkan bukti tamat atau sedang mengikuti pendidikan menengah serta menyemak skim itu berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam Perak dan data keciciran sekolah berkaitan perkahwinan kanak-kanak.
"Sebuah dasar yang bertujuan untuk menyokong golongan dewasa muda memulakan kehidupan bersama tidak seharusnya, akibat terlepas pandang ketika penggubalan, berubah menjadi subsidi negeri untuk mengahwinkan kanak-kanak," tegasnya.





