Setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan, semangat cintakan negara sering diterjemahkan menerusi kibaran Jalur Gemilang, lagu patriotik atau pelbagai acara yang mengingatkan kembali tentang nilai kebersamaan.
Namun bagi pempengaruh dan usahawan Diva M, semangat itu juga boleh hadir dalam bentuk yang jauh lebih sederhana.
ARTIKEL BERKAITAN: Diva M Syukur Tak Buang Alat Kelamin, Kembali Ke Fitrah Selepas 15 Tahun Pakai Implan Payudara
ARTIKEL BERKAITAN: Tutup Salun Demi 40 Warga Emas, Diva M Anggap Amal Saham Akhirat
Berkongsi Kegembiraan Guna Kemahiran Sendiri
Memberikan masa, menggunakan kemahiran sendiri dan berkongsi sedikit kegembiraan dengan mereka yang memerlukan perhatian.
Itulah yang cuba dilakukannya ketika turun bersama kira-kira 15 anggota pasukan ke Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras bagi menawarkan khidmat potong rambut secara percuma kepada penghuni warga emas, baru-baru ini.

Program berkenaan dianjurkan bersempena Maulidur Rasul dan sambutan Hari Kemerdekaan, sekali gus menjadi ruang buat Diva untuk menggunakan kemahiran yang selama ini menjadi sebahagian daripada perniagaannya bagi tujuan kebajikan.
“Bila fikir Maulidur Rasul dan Hari Merdeka yang tarikhnya dekat-dekat, saya rasa elok kalau kita buat sesuatu yang baik.
“Bagi saya, kalau kita ada masa dan ada kelebihan yang boleh digunakan, kenapa tidak salurkan kepada kebajikan. Kita berkongsi kasih dengan cara yang kita mampu,” katanya.
Pengaruh Bukan Sekadar Angka
Dalam dunia media sosial hari ini, istilah ‘pempengaruh’ sering dikaitkan dengan kandungan, jumlah tontonan, pengikut, gaya hidup dan kerjasama bersama jenama.
Diva bagaimanapun melihat pengaruh dari sudut yang lebih luas.

Sebagai pemilik perniagaan dalam bidang kecantikan, dia sedar kemahiran memotong rambut yang dimiliki mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah pihak, namun mempunyai nilai kepada penghuni rumah kebajikan yang memerlukan penjagaan secara berkala.
“Warga emas di sini pun perlukan penjagaan termasuk rambut. Kita yang tinggal di luar pun biasa potong rambut setiap bulan.
“Jadi apabila kita ada peluang dan kemahiran untuk membantu, bagi saya perkara seperti ini penting. Tak semestinya bantuan itu kena sesuatu yang besar,” katanya.
Lebih daripada khidmat percuma, beberapa jam yang diluangkan bersama penghuni RSK Cheras turut memberikan pengalaman berbeza kepada Diva yang sebahagian besar rutin hariannya dihabiskan menguruskan perniagaan dan menghasilkan kandungan di media sosial.
Di situlah makna memberi mula terasa lebih dekat.
Bukan hanya tentang apa yang disumbangkan, tetapi masa yang diberikan kepada seseorang yang mungkin hanya mahu ditemani dan dilayan seperti keluarga sendiri.
Terbayang Mak & Arwah Ayah
Namun di sebalik senyuman dan suasana santai sepanjang program berlangsung, ada momen yang membuatkan Diva gagal menyembunyikan rasa sebak.
Melihat wajah penghuni yang rata-ratanya berada dalam lingkungan usia ibu bapanya membuatkan Diva teringat kepada ibunya serta arwah bapanya.

Malah, pengalaman memegang gunting dan memotong rambut warga emas membawa kembali memori peribadi ketika dia pernah melakukan perkara sama terhadap bapanya.
“Bila saya potong rambut mereka, perasaan itu macam kita sedang potong rambut mak atau ayah sendiri.
“Saya teringat mak dan arwah ayah. Ada orang di luar sana mungkin teringin nak buat perkara seperti ini untuk ibu bapa mereka tetapi dah tak sempat kerana mereka sudah pergi.
“Sebab itu peluang hari ini sangat bermakna bagi saya. Saya dapat berkongsi kasih sayang dengan warga emas di sini,” katanya.
Pertemuan itu juga membawa Diva kepada satu kesedaran mudah mengenai perjalanan hidup manusia.
Hari ini dia hadir sebagai individu yang memberikan khidmat kepada penghuni di situ. Suatu hari nanti, usia yang sama juga akan menjadi sebahagian daripada perjalanan dirinya sendiri.
“Apabila tengok orang-orang tua di sini, kita akan terfikir satu hari nanti kita pun akan sampai ke usia seperti mereka.
“Ini pengalaman baharu buat saya dan antara momen yang saya akan ingat,” katanya.
Kalau Orang Anggap ‘Content’, Terpulang
Membawa kamera dan berkongsi aktiviti kebajikan di media sosial hampir pasti mengundang persoalan mengenai niat seseorang.
Diva sendiri sedar tindakannya mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai sekadar bahan kandungan untuk mengejar publisiti, tontonan atau pengikut.

Namun dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan persepsi tersebut.
Baginya, setiap perkara yang dilakukan di ruang awam akan sentiasa mempunyai tafsiran berbeza, termasuk apabila seseorang cuba melakukan sesuatu yang baik.
“Benda macam itu normal. Kita buat baik pun mungkin ada yang kata semuanya untuk content. Bagi saya, biarlah orang nak cakap apa. Saya tahu apa yang saya buat hari ini datang daripada hati saya dan pasukan.
“Program seperti ini bukan kita boleh datang begitu sahaja. Semuanya perlu dirancang dan perlu dapat kerjasama daripada pihak rumah kebajikan,” katanya.
Malah, Diva melihat sokongan yang diberikan pengikut terhadap perniagaannya sebagai sebahagian daripada rantaian yang membolehkannya berkongsi semula rezeki dengan masyarakat.
“Terima kasih kepada semua yang selama ini menyokong saya dan membeli produk saya. Daripada hasil perniagaan itulah saya ada peluang untuk membantu lebih ramai orang. Kalau kita mampu buat sesuatu, kenapa kita tak buat?” katanya.
Selepas Merdeka, Bakti Tidak Berhenti
Program di Rumah Seri Kenangan Cheras juga bukan sesuatu yang mahu ditinggalkan sebagai aktiviti sempena sambutan tertentu sahaja.
Diva sudah merancang untuk kembali menyantuni warga emas menerusi program minum petang, selain mahu membawa khidmat potong rambut percuma ke rumah anak yatim pada masa akan datang.
Aktiviti makan bersama golongan berkenaan turut berada dalam perancangannya.
“Saya akan buat dengan cara saya sendiri. Insya-Allah, selagi mampu saya akan cuba buat yang terbaik.
“Selepas ini kita rancang untuk buat hi-tea bersama warga emas dan kemudian pergi pula ke rumah anak yatim untuk potong rambut secara percuma serta makan bersama mereka,” katanya.
Rumah Seri Kenangan Cheras kini menempatkan kira-kira 170 penghuni, menjadikan penglibatan pihak luar antara bentuk sokongan yang dapat membantu mewujudkan lebih banyak aktiviti dan interaksi untuk warga emas di situ.
Buat Diva, pengalaman tersebut akhirnya memberikan satu tafsiran peribadi terhadap sambutan Hari Kemerdekaan.
Merdeka tidak semestinya hanya tentang bagaimana seseorang meraikan kebebasan yang dimiliki.
Kadangkala, ia juga tentang bagaimana ruang, peluang dan rezeki yang kita miliki digunakan untuk membuatkan kehidupan orang lain terasa sedikit lebih dihargai.
The post Berkongsi Kasih Dalam Semangat Merdeka, Diva M Gunakan Pengaruh Untuk Berbakti first appeared on OHBULAN!.





