Tiga lagi aktivis Bersih telah dilarang daripada memasuki Sabah, dengan kumpulan hak pilihan raya itu memberi amaran mengenai satu “precedent yang membimbangkan” terhadap organisasi masyarakat sivil di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Naib Pengerusi Bersih Sabah, Fadhil Kasim berkata, Pegawai Advokasi Bersih, Anas Nor’azim dimaklumkan bahawa dia dikenakan sekatan untuk memasuki Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau, awal hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Bersih, Faisal Aziz dan ahli jawatankuasanya, Alyaah Hani turut dimaklumkan hari ini bahawa mereka dilarang memasuki Sabah sejak 30 Jun lalu — tarikh yang sama Pengarah Bersih, Asraf Sharafi Azhar diusir kembali ke Kuala Lumpur susulan sekatan serupa.
Fadhil berkata, walaupun Bersih mengiktiraf hak autonomi imigresen Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), setiap pelaksanaan kuasa perlu disertai tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti.
"Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius kerana ia bukan lagi melibatkan satu kes terpencil, sebaliknya beberapa aktivis yang terlibat secara langsung dalam kerja advokasi demokrasi dan masyarakat sivil.
"Hari ini aktivis reformasi pilihan raya, esok mungkin aktivis alam sekitar, hak asasi, tanah adat, akademia atau wartawan pula yang berdepan keadaan sama," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, dalam kerangka Madani, kerajaan turut menekankan kepentingan kebebasan bersuara, keterbukaan terhadap pandangan berbeza serta ruang kepada orang awam untuk mengemukakan kritikan yang munasabah dalam batas undang-undang.

Katanya, prinsip sama juga seharusnya menjadi panduan dalam pelaksanaan kuasa pentadbiran, termasuk keputusan berkaitan imigresen.
"Sekiranya terdapat alasan keselamatan atau undang-undang bagi sekatan ini, kami berpandangan ia perlu dinyatakan kepada rakyat dengan penuh tanggungjawab," tambahnya.
Oleh itu, Fadhil menggesa kerajaan Sabah memberikan penjelasan segera berhubung asas dan sebab sekatan tersebut, selain meminta semua “sekatan tanpa asas” berkenan ditarik balik.
Dia turut menyeru supaya semua individu berkenaan dibenarkan memasuki dan berada di Sabah secara aman dan sah.
Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Imigresen negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.





