29 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PULASAN | Cuba berdamai dengan kepandiran merata-rata

    Shopee Sale

    PULASAN | Entah siapalah yang memulakan ilham untuk si Nabil Ahmad dan dua kawannya itu bersusah-payah ke Batu Caves baru-baru ini. Atau boleh juga ditanyakan: apakah yang membuat ketiga-tiga mereka tergerak hati masing-masing untuk ke situ?

    Tetapi walau apa pun jawapan kepada soalan di atas – kalau ada jawapanlah – ia sudah kurang penting. Malah aksi kontroversi sebelum mereka ke Batu Caves itu pun sudah kurang signifikannya.

    Hal itu kerana sudah ada ramai cerdik pandai yang muncul untuk menawarkan teori masing-masing, dan setiap daripada kita akan berpegang dengan yakin satu atau lebih saranan itu selagi ia bersesuaian dengan kehendak sendiri.

    Dan kata-kata ‘hikmat’ bahawa “fitnah itu direka oleh pembenci, disebar oleh si dungu dan dipercayai bulat-bulat oleh si bodoh” menjadi sangat klise. Malang sekali kerana ungkapan itu sepatutnya masih ‘muda’ dan wajar berada dalam senarai petikan malar segar.

    Tiba-tiba ia menjadi sangat klise.

    Hal itu kerana kebebalan sudah menjadi sesuatu yang sangat lazim dan sebahagian daripada elemen yang terpaksa kita hadapi saban waktu. Ia kira-kira sama seperti hakikat bahawa kita terpaksa hidup dengan Covid-19 ketika ini di sebalik rekodnya yang fatal dulu.

    Bahkan kita perlu hidup bersama jutaan kebebalan lebih daripada perlunya hidup bersama Covid-19 sehari-hari.

    Bermula di bangku sekolah

    Apa yang boleh dipelajari daripada insiden penyampai radio swasta itu?

    Perkara teratas sekali sudah tentu ialah, kita perlu akui bahawa ruang dan masa untuk hidup aman sudah semakin sempit. Terima kasih kepada semua orang yang menjadi batu api. Banyak benar jasa mereka kepada negara.

    Namun yang kita terlepas pandang ialah bahawa masalah itu bermula seawal ruangan konti stesen radio lagi. Slot seperti kebanyakan siaran radio berasaskan hiburan atau mencari keuntungan sekarang ini adalah asasnya.

    Tindakan Nabil dan kawan-kawannya berkunjung ke Batu Caves menjadi konduit, manakala orang seperti kebanyakan ahli politik berkhidmat dengan taat sebagai tukang curah minyak.

    Lalu ada watak ketiga yang tidak kurang pentingnya – si dungu (atau dalam bahasa yang lebih mudah: pencacai) yang menyalakan api untuk membakar emosi.

    Sesungguhnya kita tidak perlukan siaran-siaran massa yang membodohkan pendengar, syok sendiri atau menghidangkan lawak-lawak hambar. Ia bukanlah ramuan yang benar untuk membangunkan bangsa atau negara.

    Kita sudah jenuh dengan masalah kebodohan, tetapi pada masa sama dalam kesesakan mencari ruang untuk bernafas ini, kebodohan yang lain pula datang menekan dari segenap sudut.

    Ketika orang lain berlumba-lumba untuk menjadi cerdas, kita berbangga kerana tekal – sama ada untuk melangkah ke belakang atau statik dalam dunia yang tidak mengembangkan minda.

    MENARIK:  Kejam, hukum duda disebat di khalayak ramai - Sisters In Islam

    Lebih malang, kadang-kadang ia bermula seawal di bangku persekolahan!

    Bayangkan bagaimana ‘sewelnya’ dunia ini apabila ada orang membawa individu yang membodohkan sesiapa saja yang percaya bahawa bumi ini bergerak mengelilingi matahari untuk berceramah di depan para pelajar sekolah sains.

    Dia menganggap bukan bumi yang bergerak mengelilingi matahari, sebaliknya matahari itulah yang mengelilingi bumi. Dan sesiapa yang percaya kepada dapatan sains adalah “bodoh”.

    Orang itulah yang dibawa untuk menumpahkan ilmunya di hadapan pelajar sekolah sains. Ia menjadi tragedi yang sangat menyayat hati apabila pihak yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan individu antisains itu ialah alumni sekolah tersebut.

    Ia kira-kira sama seperti mempelawa si pengotor untuk memberikan ceramah kesedaran peri pentingnya kebersihan. Atau kita mengajak si penganut teori konspirasi dan antivaksin untuk mengajar tentang perubatan moden.

    Atau memberi kepercayaan kepada seseorang antihadis untuk membina kefahaman beragama dalam kalangan pelajar Muslim.

    Membonsaikan akal

    Sesungguhnya kita sudah sangat selesa berada dalam kebebalan, dan ia pula semakin menebal dari sehari ke sehari. Namun kita yakin – sebagai bangsa yang maju, maha bertuah dan ‘terpilih’ – akan ada cahaya di hujung terowong. Akhirnya bangsa terpilih ini akan mencerdaskan umat dan negara.

    Sebabnya: kerana kita tidak sekali-kali menyanggah kata-kata ‘ulama’ popular.

    Tidak salah untuk terus bersikap optimis, tetapi dengan sistem yang sedia ada ini, harapan semakin menipis.

    Institusi pendidikan yang sepatutnya mencerdaskan manusia menjadi tapak untuk kebebalan disemai. Kemudian ia akan tumbuh di sebalik keputusan cemerlang akademik yang memang dikejar oleh semua.

    Pihak berkuasa pendidikan pula mungkin mempunyai tugas lain yang lebih penting, seperti melebarkan pengaruh peribadi, mencari populariti atau memikirkan kaedah tertentu agar tidak ditanya banyak oleh pihak atasan.

    Di dunia luar pula, orang politik sedang menunggu-nunggu masa untuk menerkam, membaham dan membelenggu anak-anak muda agar duduk mentaati mereka.

    Pada ketika yang sama, stesen-stesen radio terus menyajikan program yang membonsaikan akal tanpa ditegur oleh sesiapa.

    Kita perlu benar-benar sedar bahawa orang yang berkelakuan bodoh lebih bahaya daripada orang yang berkelakuan jahat. Dan lawan kepada kebodohan bukanlah kecerdasan, tetapi kewarasan.


    AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan yang berasa ngeri melihat orang yang cuba menjustifikasikan kebebalan dengan hujah bahawa manusia adalah makhluk yang penuh dengan kekurangan.

    Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah