30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 4, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Masa untuk jayakan Muafakat Nasional 2.0, kata PAS

    Shopee Sale

    Ketika perselisihan tajam dengan Bersatu belum nampak tanda untuk reda, seorang pemimpin PAS semalam membangkitkan gagasan untuk menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional.

    Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah pasti akan diikuti dengan beberapa negeri lain kerana penggal masing-masing semakin sampai ke penghujung.

    Dia yang juga Timbalan Pengerusi PN menambah pembubaran itu membuka jalan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) yang mengembalikan hak rakyat memilih kerajaan yang diingini.

    “Ia juga membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baru dalam politik Malaysia. Satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini.

    “Lebih daripada itu, ia juga mampu membentuk kekuatan politik bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, bahkan juga di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

    Tuan Ibrahim menambah semua perubahan itu hanya dapat dicapai apabila wujud persefahaman dan toleransi sesama parti politik utama berteraskan Melayu Islam di negara ini.

    Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mendakwa ada beberapa isu utama memberi kesan kepada orang Melayu dan Islam seperti melibatkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (EUC) serta “tindakan melampau membantah titah raja-raja Melayu.”

    Perpecahan parti politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu pula, dakwa Tuan Ibrahim, menyebabkan kesan itu dialami seperti sekarang.

    “Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan Umno, untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.

    Dalam memperkuat gerakan politik Melayu, tambah Tuan Ibrahim, Islam perlu menjadi alat penyatuan dan menjadi asas kepada usaha yang dibuat.

    Melayu, Islam kuat

    Dengan itu, katanya, generasi yang bakal menerajui politik Melayu pada masa depan daopat mewarisi kekuatan akidah, akhlak dan pegangan agama yang kukuh.

    MENARIK:  Menteri: Kesedaran tentang keganasan terhadap wanita kian meningkat

    “Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor, dan terus diperkukuh pada masa hadapan.

    “Parti-parti politik Melayu pernah bersama dalam sejarah negara. Kita pernah menyaksikannya selepas peristiwa 13 Mei, apabila BN terbentuk.

    “Muafakat Nasional pula terbentuk akibat kebimbangan terhadap usaha kerajaan PH ketika itu (2018) yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia.

    “Kini, sudah sampai masanya gagasan Muafakat Nasional 2.0 dijayakan,” katanya.

    Muafakat Nasional merupakan pakatan di antara Umno dan PAS yang dicapai selepas PRU ke-14 berlangsung yang menyaksikan BN kehilangan kuasa buat pertama kali dalam sejarah.

    Ia meletakkan Umno – yang menjadi parti utama BN – berada di kedudukan pembangkang. Parti itu kemudian bekerjasama dengan PAS membentuk gagasan tersebut pada Sept 2019.

    Bagaimanapun PAS kemudian mengambil langkah sepihak dengan bekerjasama pula dengan Bersatu – yang sebelum itu meninggalkan PH – lalu membentuk PN hampir genap setahun kemudian.

    Untuk rekod pada waktu ini hubungan PAS dengan Bersatu berada dalam situasi yang tegang apabila kedua-dua pihak saling menyerang secara terbuka, selain ada ura-ura mahu menggerakkan usul tidak percaya kepada Menteri Besar Perlis.

    Ia berlaku ketika PAS sudah kebanyakan jawatan utama dalam PN, termasuk pengerusinya yang kini disandang naib presiden parti itu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Tuan Ibrahim berkata PAS amat mengharapkan semua parti utama – khususnya parti Melayu – dapat berfikir secara serius, berlapang dada, mengenepikan perbezaan, serta meletakkan masa depan bangsa dan ummah sebagai keutamaan.

    “Insya-Allah, apabila Melayu-Islam bersatu, kita akan menjadi kuat dan mampu melindungi hak semua pihak,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah