Ahli perniagaan Victor Chin, yang mengaitkan seorang ahli parlimen PKR dalam skandal yang digelar “mafia korporat” merupakan antara 10 individu yang ditahan melalui satu operasi polis yang menyasarkan kegiatan pengubahan wang haram.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fazlisyam Abd Majid pada sidang media petang ini.
Operasi yang diberi nama “Ops Viking” itu dijalankan antara 15 Oktober tahun lalu hingga 13 Januari tahun ini.
Polis menahan 10 individu dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan sindiket itu, terdiri tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk ahli perniagaan, Victor Chin.
"Polis turut menyita 2.98 bilion unit saham dengan nilai pasaran RM323.6 juta, bersama akaun dagangan bernilai RM64.2 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.6 juta.
"Kami juga merampas barangan mewah termasuk kereta, motosikal, jam tangan, barang kemas, beg berjenama dan wang tunai dalam mata wang tempatan serta asing," kata Fazlisyam seperti dipetik BH Online.
Dia juga berkata Chin yang ditahan pada Disember sebelum ini dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis, boleh dipanggil semula bagi tujuan merakam percakapan.
Pendedahan mengenai Chin dibuat ketika ahli perniagaan itu memberi tempoh sehingga hari ini kepada ahli parlimen PKR berkenaan untuk memulangkan wang RM9.5 juta yang didakwa telah dibayar, dengan amaran bahawa namanya akan didedahkan jika gagal berbuat demikian.
Chin yang menafikan terlibat dalam “mafia korporat”, mendakwa ahli parlimen tersebut meminta RM10 juta bagi menyelesaikan masalah perundangannya.





