Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki menyimpan dan menyeludup lebih 600 kilogram (kg) pil yaba dan heroin yang dianggarkan bernilai RM49.17 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Khaw Kok Sin berkata pil yaba seberat 652.4 kg dan 2.6 kg heroin itu merupakan rampasan terbesar jabatan itu tahun ini.
Khaw berkata suspek yang merupakan penganggur berumur 32 tahun ditahan di sebuah rumah di Salor, Pasir Mas pada Isnin lepas.
“Suspek yang bertindak sebagai penghantar dadah itu dipercayai telah bergiat aktif dalam sindiket berkenaan sejak Jun tahun ini.
“Hasil siasatan mendapati suspek akan diberi upah sebanyak RM100 untuk menghantar dadah berdasarkan kuantiti yang berjaya dihantar kepada ahli sindiket dadah,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Khaw berkata modus operanandi sindiket adalah menjadikan premis yang disewa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum bahan itu diedarkan untuk pasaran tempatan di sekitar Pantai Timur.
-Bernama





