29.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Polis buka 11 kertas siasatan isu kenyataan ketua penerangan Umno Rembau

    Shopee Sale

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima keseluruhan 53 laporan polis dan membuka 16 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sejak 18 Julai hingga semalam.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 11 kertas siasatan dibuka berkaitan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Rembau Shukri Shamsuddin yang didakwa mengaitkan institusi diraja dengan parti politik.

    “Saksi-saksi berkaitan telah diambil keterangan dan pihak polis akan memanggil Ketua Penerangan UMNO Rembau dalam masa terdekat bagi meneruskan siasatan lanjut.

    “Selain itu, dua laporan polis turut diterima berhubung kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan siasatan sedang dijalankan,” katanya di Nilai hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang mempunyai 473 pegawai dan anggota yang layak mengundi pada PRN kali ini.

    Alzafny berkata kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan ke-16, pihaknya telah meluluskan 536 permohonan penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik.

    Mengenai perjalanan pengundian awal hari ini, beliau berkata proses pengundian itu membabitkan sebanyak 5,455 anggota polis termasuk 281 anggota yang mengundi secara pos.

    MENARIK:  PM harus tunjuk keprihatinan peribadi kes tembak mati di Melaka

    “Jumlah tertinggi pengundi Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah di kawasan Parlimen Seremban iaitu 1,607 orang dan Alhamdulillah proses pengundian awal di kesemua tempat berlangsung dengan lancar, aman dan teratur pagi ini,” katanya.

    Alzafny berkata bagi kelancaran proses pengundian awal, sebanyak 1,796 pegawai dan anggota polis ditugaskan meliputi kawalan keselamatan di pusat mengundi, kawalan saluran, pengiringan peti undi, lalu lintas serta pemantauan situasi keselamatan sepanjang proses pengundian berlangsung sehingga pusat pengundian ditutup pada 5 petang.

    Beliau turut mengingatkan semua parti politik, penyokong dan orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang serta tidak melakukan sebarang provokasi, menyebarkan berita palsu, mengeluarkan ucapan berunsur hasutan atau melakukan tindakan yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam.

    Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan berhubung salah laku atau isu politik wang yang dibangkitkan aktivis Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che'gu Bard di media sosial, Alzafny memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung isu berkenaan.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan PDRM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang, telus dan berintegriti, serta tidak teragak-agak merujuk perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya wujud bukti atau laporan rasmi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan.

    Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah