29.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Warga emas dakwa dipukul lepas dituduh curi arak di kedai

    Shopee Sale

    Seorang ahli perniagaan berusia 61 tahun mendakwa dikasari beberapa pekerja sebuah kedai runcit di Kuala Lumpur selepas dituduh mencuri arak pada 24 Julai lalu.

    Menurut peguamnya Rajesh Nagarajan, tiada minuman keras ditemukan pada N Sivasamy Nagarathnam, ketika pemeriksaan dilakukan pekerja kedai.

    Rajesh berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam di sebuah rangkaian kedai runcit itu ketika Sivasamy mahu membayar kopi, air mineral dan beberapa makanan kucing.

    Dia berkata seorang pekerja menuduh Sivasamy mencuri arak dan memintanya masuk ke stor untuk diperiksa.

    Menurutnya, Sivasamy bersetuju untuk diperiksa tetapi meminta pemeriksaan dilakukan di hadapan kamera litar tertutup (CCTV), bukannya di dalam stor.

    "Dia (Sivasamy) kata, kalau nak periksa, periksa di situ kerana ada CCTV. Tetapi pekerja tetap berkeras mahu dia masuk ke dalam stor.

    "Apabila dia enggan, dia meninggalkan barang di kaunter dan cuba keluar dari kedai tanpa membuat sebarang pembelian," katanya pada sidang media di firma guaman Raj & Sach hari ini.

    Rajesh mendakwa tiga pekerja menahan Sivasamy sebelum sempat dia keluar dari premis, memulas tangannya ke belakang dan membawanya ke dalam stor.

    Rakaman yang dikatakan menunjukkan sebahagian kejadian itu kemudian tersebar di media sosial.

    Menurut Rajesh, pemeriksaan yang dilakukan ketika itu tidak menemukan sebarang minuman keras pada Sivasamy.

    Ketika menyampaikan versi anak guamnya mengenai kejadian di dalam stor, Rajesh mendakwa: "Walaupun tiada apa-apa ditemui, dia tetap ditumbuk pada bahagian bibir sehingga berdarah."

    "Kami juga dimaklumkan seorang wanita datang membawa topi keledar lalu memukul bahu kirinya. Dia turut ditumbuk pada bahagian badan, ditendang di bahagian kaki dan ditolak beberapa kali," katanya.

    Peguam Rajesh Nagarajan.

    Rajesh berkata Sivasamy kemudian mendapatkan rawatan di hospital manakala laporan perubatan yang dirujuk pihaknya merekodkan beberapa kecederaan fizikal serta aduan trauma selepas kejadian itu.

    Menurutnya, Sivasamy turut mengalami kesan pada leher yang didakwa berpunca daripada tali beg silang yang tertarik ketika pergelutan.

    Dakwa wang tunai, jam tangan hilang

    Sementara itu, Sivasamy berkata dia sering membeli makanan kucing di rangkaian kedai runcit berkenaan.

    "Saya sudah 17 tahun beli makanan kucing untuk kucing liar. Hari itu saya cuma masuk tiga minit, ambil kopi, air mineral dan makanan kucing sebelum beratur di kaunter.

    "Tiba-tiba staf datang tuduh saya curi arak. Saya kata periksa saja di depan CCTV, tetapi mereka tetap suruh saya masuk stor," katanya.

    Menurut Sivasamy, dua pekerja kemudian memulas tangannya dan membawanya secara paksa ke dalam stor.

    Dia turut mendakwa seorang pekerja wanita merakam kejadian sambil mengeluarkan kata-kata dalam bahasa Tamil yang ditafsirkannya sebagai galakan supaya dia terus dipukul.

    Sivasamy juga mendakwa tarikan pada tali beg silang itu menyebabkan lehernya luka dan berdarah.

    Katanya, selepas kejadian itu, dia menyedari wang tunai RM850 dan sebuah jam tangan Rado bernilai beberapa ribu ringgit miliknya tiada.

    MENARIK:  Tiada keperluan tutup sekolah kurang murid, kata timb menteri

    Dia tidak menyatakan siapa yang didakwanya mengambil barangan berkenaan.

    "Saya buat laporan polis mengenai kehilangan wang dan jam tangan itu. Beg dan telefon bimbit dipulangkan kemudian, tetapi wang serta jam tangan masih hilang," katanya.

    Persoal tindakan pekerja

    Menurut Rajesh lagi, polis tiba di lokasi kira-kira 30 minit selepas dipanggil dan meneliti rakaman CCTV.

    Dakwanya, pegawai yang hadir kemudian menyifatkan kejadian itu sebagai perselisihan faham.

    Rajesh bagaimanapun mempersoalkan tindakan pekerja kedai yang didakwa menggunakan kekerasan tanpa menghubungi polis terlebih dahulu.

    "Kalau mereka mengesyaki berlaku kecurian, sepatutnya hubungi polis, bukannya mengambil undang-undang di tangan sendiri.

    "Tiada bukti menunjukkan dia mencuri. Pemeriksaan badan tak jumpa apa-apa dan rakaman CCTV juga tidak menunjukkan apa-apa," katanya.

    Rajesh turut mendakwa penyebaran rakaman video berkenaan menjejaskan reputasi anak guamnya sebagai ahli perniagaan.

    Bagaimanapun, dia tidak menyatakan siapa yang mula-mula menyebarkan rakaman itu.

    Hubungi polis, bukan kurung dan pukul

    Menurutnya, Sivasamy menerima ratusan panggilan dan mesej daripada orang ramai yang bertanya sama ada dia benar-benar mencuri atau tidak.

    Rajesh berkata pihaknya akan mengeluarkan surat tuntutan kepada rangkaian kedai runcit berkenaan sebelum memfailkan saman sivil sekiranya tiada penyelesaian dicapai.

    Katanya, pihaknya bercadang memasukkan tuntutan berkaitan penyebaran video, dakwaan serangan fizikal serta kehilangan wang tunai dan jam tangan sekiranya saman itu difailkan.

    Sementara itu, aktivis masyarakat Suthan Mookaiah (gambar bawah) mendakwa kejadian seumpama itu bukan kes terpencil dan menggesa syarikat terbabit memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dalam mengendalikan individu yang disyaki mencuri.

    Dia bagaimanapun tidak memberikan perincian mengenai kejadian lain yang dirujuknya.

    "Kalau syak pelanggan mencuri, hubungi polis. Bukan pukul atau mengurung pelanggan. Warga emas tidak sepatutnya melalui pengalaman seperti ini," katanya.

    Menurut Suthan, kejadian dan penyebaran rakaman itu didakwa menjejaskan keadaan fizikal, emosi serta reputasi Sivasamy.

    Rajesh berkata sidang media itu diadakan untuk menjelaskan versi anak guamnya serta mengumumkan tindakan undang-undang yang dirancang bagi membersihkan nama Sivasamy.

    “Encik Sivasamy akan membersihkan namanya di mahkamah. Kami juga akan memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya video yang tular itu diturunkan,” katanya.

    Rajesh turut memaklumkan rangkaian kedai runcit berkenaan juga telah membuat laporan polis mengenai kejadian sama.

    Dia berkata pihak kedai perlu mengemukakan bukti yang menyokong dakwaan kecurian terhadap anak guamnya.

    Malaysiakini telah menghubungi pihak pengurusan rangkaian kedai itu dan polis bagi mendapatkan respons terhadap dakwaan berkenaan. Setakat berita ini diterbitkan, kedua-duanya masih belum memberikan maklum balas.

    Dakwaan warga emas itu dan pihak kedai belum dibawa di mahkamah manakala polis belum mengumumkan perkembangan siasatan kes berkenaan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah