Peserta himpunan #Reformasi100Peratus yang berkumpul di pekarangan Tugu Negara, sekitar 7.30 pagi tadi, mula berarak ke bangunan Parlimen.
Pemerhatian Malaysiakini mendapati jumlah anggota polis dan media jauh mengatasi kehadiran peserta.
Semalam, anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan notis makluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, untuk mengadakan perarakan ke parlimen, hari ini.

Notis itu sebagai jawapan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berhubung isu notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang melanggar undang-undang.
Sementara itu, Malaysikini difahamkan lebih 300 anggota polis ditempatkan di seluruh kawasan terbabit untuk memantau keadaan. Jumalah watawan dan jurugambar pula dianggarkan sekitar 50 orang.

Perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu yang rata-ratanya berbaju hitam dan kuning akan menyerahkan memorandum bagi mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi 100 peratus.
Antaranya, gabungan itu mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.
Bersih juga menuntut supaya had tempoh jawatan perdana menteri dihadkan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, mereka juga mahu Akta Hasutan dimansuhkan, selaras dengan janji pilihan raya PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim.
Pemerhatian Malaysiakini mendapati puluhan peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum hadir pagi ini.

Antara mereka, termasuk beberapa pemimpin Bersih termasuk pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.





