Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Ahad perbincangan dan pertukaran mesej antara Tehran dan Washington masih berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan yang disiarkan oleh televisyen negara, Araghchi berkata tiada kesimpulan akhir sehingga perbincangan itu menjana "hasil yang jelas dan ketara."
"Semua yang diperkatakan sekarang ialah spekulasi dan tidak boleh diambil serius," tambahnya.
Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari.
Tehran bertindak balas dengan menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, di samping penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan namun rundingan berikutnya di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian.
Sejak itu, kedua-dua pihak terus bertukar cadangan dan cadangan balas dalam usaha menyambung semula rundingan dan menamatkan konflik.





