Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau mempercayai maklumat yang diberikan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, berhubung cadangan majlis pemeteraian usaha sama (JV) bernilai AS$2.5 bilion dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) susulan komunikasi awal dengan Pejabat Perdana Menteri pada 2009.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berusia 56 tahun itu, yang memberi keterangan sebagai saksi plaintif keempat dalam saman AS$5.64 bilion difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya, berkata komunikasi dengan pegawai khas bekas Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Amhari Efendi Nazaruddin berlaku ketika persiapan awal bagi cadangan majlis berkenaan.
Saksi itu berkata komunikasi tersebut menyebabkan beliau percaya bahawa majlis berkenaan akan berlangsung.
Bagaimanapun, Shahrol Azral mengakui beliau tidak mengambil tindakan susulan berhubung perkara itu dan tidak mempunyai sebarang dokumen yang mengesahkan bahawa majlis berkenaan sememangnya akan diadakan.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, defendan pertama dalam saman itu.
Muhammad Shafee: Anda setuju Amhari ialah antara individu yang menerima wang daripada Jho Low?
Shahrol Azral: Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.
Muhammad Shafee: Semua maklumat mengenai majlis itu datang daripada Jho Low?
Shahrol Azral: Ya.
Muhammad Shafee: Dan anda menganggap maklumat itu benar?
Shahrol Azral: Ya.
Sebelum ini, dalam perbicaraan jenayah 1MDB yang melibatkan Najib, mahkamah dimaklumkan bahawa majlis pemeteraian JV itu tidak pernah berlangsung walaupun ia dikatakan menjadi antara alasan utama urus niaga berkenaan dibuat secara tergesa-gesa.
1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.
Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, Vincent Beng, bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad, Kelvin Tan serta bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Baru-baru ini, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.
Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Jasmine daripada saman itu.
Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung pada 15 Mac tahun depan





