Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Faris Arriffin mengeluarkan surat tuntutan guaman (LOD) susulan dakwaan dia digantung tugas susulan siasatan salah guna dana.
Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan itu berkata LOD itu dikeluarkan pagi ini kepada penyebar dakwaan itu.
Dia bagaimanapun tidak menamakan pihak-pihak itu secara khusus.
“Pasukan guaman saya sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi melindungi integriti Nafas dan reputasi profesional saya,” katanya.
Nafas adalah entiti bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah.
Ia ditubuhkan pada tahun 1972 oleh perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein bawah Akta Persatuan Peladang 1967 sebagai badan induk kepada persatuan peladang di seluruh negara.
Ia anggotai oleh 14 buah pertubuhan peladang negeri, yang dianggotai oleh 279 pertubuhan peladang kawasan, yang mempunyai keanggotaan lebih 900,000 orang.
Nafas menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian dan mempunyai belasan syarikat.
Nagas juga mempunyai tabung kumpulan wang untuk menjalankan tanggungjawab sosial dengan memberikan bantuan kepada pertubuhan peladang negeri, wawasan dan anggota-anggotanya di seluruh negara.





