Bekas ketua Amanah kawasan Padang Besar, Mohamad Yahaya, memilih untuk menyertai Umno selepas dipecat daripada parti itu tahun lalu.
Pesara tentera yang juga abang kepada Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya itu berkata, dia memilih Umno kerana melihat parti tersebut lebih cakna terhadap masalah rakyat.
Katanya, Umno berbeza dengan PKR yang menurutnya bergantung kepada presidennya, Anwar Ibrahim, untuk menyelesaikan semua isu secara bersendirian.
"Umno nampak lebih matang dalam mengendalikan isu serta tidak banyak keranah dalaman parti.
"Menteri kabinet daripada PH pula kelihatan masih amatur walaupun sudah lebih tiga tahun pegang jawatan," katanya kepada Malaysiakini.

Tahun lalu calon PH bagi parlimen Padang Besar pada PRU ke-15 itu dipecat daripada Amanah selepas tidak menjawab surat tunjuk sebab dikemukakan parti.
Difahamkan ia berpunca daripada penglibatan Mohamad dalam mengkritik pengundian PKR ketika itu selain mengkritik pimpinan Amanah secara terbuka.
Mohamad berkata penyertaannya sebagai ahli Umno sudah diterima dan dimaklumkan oleh ketua bahagian Umno Padang Besar.
Sementara itu, bekas naib ketua Umno bahagian Kangar, Azhar Ahmad turut kembali kepada Umno.
Perkara itu disahkan Ketua Umno Bahagian Kangar, Fathul Bari Mat Jahaya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada PRU ke-15 lalu, Azahar bertindak keluar parti dan bertanding atas tiket bebas di DUN Kuala Perlis.
Fathul menyifatkan perkara itu sebagai kematangan perjuangan apabila persaudaraan mengatasi perbezaan dan penyatuan menutup sengketa lama.
Selaras dengan seruan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, katanya, pintu Umno Bahagian Kangar sentiasa terbuka kepada sesiapa yang masih sayangkan perjuangan mereka.
"Sama ada yang pernah menjauh, keluar parti, digantung, dipecat atau emmbawa haluan sendiri. Jika hati masih bersama Umno, marilah kembali bersama di bawah satu bumbung, satu saf dan satu Rumah Bangsa," katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan memutuskan bahawa parti itu bersetuju menerima semula lebih 6,000 ahli dan bekas pemimpinnya termasuk Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin serta Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT menyokong penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Ahmad Zahid untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti.





