Pemuda PAS mengingatkan bahawa perpecahan politik yang berterusan dalam kalangan Melayu-Islam berpotensi membuka ruang kepada pendekatan baru yang tidak selari dengan kepentingan masyarakat.
Berucap pada Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu hari ini, Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan bahawa perpaduan umat Islam perlu terus diusahakan, terutama ketika penguasaan ekonomi Melayu-Islam berada pada tahap yang “lemah”.
Dalam ucapan penuh semangat di hadapan lebih 800 perwakilan, Afnan memberi gambaran bahawa pengaruh yang kini dimiliki Melayu-Islam sebagai majoriti penduduk Malaysia boleh terjejas sekiranya masyarakat itu gagal menyatukan kekuatan mereka.
Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana kekuatan politik yang berpecah kepada terlalu banyak arah akan menjejaskan keupayaan untuk menentukan agenda bersama.
"Bukan kerana orang lain tidak berhak untuk maju, bukan kerana kita mahu menafikan hak sesiapa, tetapi dalam politik dan kehidupan bernegara yang majoritinya orang Melayu Islam ruang yang tidak kita isi akan diisi oleh orang lain.
"Kepimpinan negara yang tidak kita isi akan digantikan oleh kepimpinan lain, agenda yang kita gagal bawa akan diganti dengan agenda yang mungkin tidak sama dengan kepentingan umat," katanya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.
Sehubungan itu, katanya, kekuatan, keberanian dan kebijaksanaan perlu dibina bagi memastikan perpaduan yang lebih kukuh dapat diwujudkan.
Mengulangi bahawa terdapat “harga” yang perlu dibayar akibat perpecahan Melayu-Islam, Afnan berkata kesannya mungkin tidak dirasai pada masa ini, namun boleh ditanggung oleh generasi akan datang.
“Kita mungkin tidak membayar harga itu hari ini, tetapi harga itu mungkin dibayar oleh anak-anak kita pada masa akan datang,” katanya.
Afnan turut menjelaskan konsep ummah yang dihuraikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang membahagikannya kepada dua kelompok iaitu Ummah Al-Ijabah dan Ummah Al-Dakwah.
Ummah Al-Ijabah merujuk kepada mereka yang telah memeluk Islam, manakala Ummah Al-Dakwah merujuk kepada mereka yang diajak kepada Islam, sama ada untuk menjadi penganut yang mengamalkan ajaran Islam atau menjalani kehidupan di bawah “pemerintahan Islam yang adil kepada semua”.
Dalam perkembangan sama, Afnan mengumumkan Pemuda PAS akan menganjurkan Himpunan Mega Penyatuan Ummah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyatukan pengundi Melayu-Islam.
PAS sebelum ini terus menggesa pengukuhan perpaduan ummah menerusi kerjasama dengan Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN), dengan parti Islam itu mengangkat kerjasama berkenaan sebagai usaha lebih luas untuk menyatukan politik Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Muktamar hari ini turut menyaksikan kehadiran 25 pemimpin Pemuda Umno, termasuk ketuanya, Dr Akmal Saleh, selepas jemputan dikemukakan oleh Pemuda PAS.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui pada sidang media selepas majlis perasmian sayap Pemuda PAS menegaskan bahawa penyatuan ummah bukan semata-mata untuk orang Melayu.
"Umno, BN memerintah lama, orang bukan Melayu tidak diketepikan. Maksud mereka ada hak yang diberi.
"Penyatuan (ummah) ini bukan mengetepikan hak bukan Melayu atau hak bukan Islam. Dia rakyat negara kita yang kita perlu raikan bersama.
"Penyatuan ialah penghargaan kepada pengorbanan semua bangsa ke atas negara kita," katanya.
Dia turut menegaskan bahawa PAS menolak kewujudan “kumpulan ekstrem yang melampaui batas” sehingga mencetuskan kontroversi, keraguan dan menimbulkan masalah dalam kalangan rakyat.





