Pemuda Pakatan Harapan (PH) mengajak kepimpinan Pemuda Umno-BN untuk turut serta dalam demonstrasi membantah pencalonan Nick Adams sebagai duta baru negara itu ke Malaysia, esok.
Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK), Danish Hairudin, berkata bantahan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat itu juga bertujuan mendesak kerajaan pimpinan Donald Trump menarik semula pencalonan Adams dan menggantikannya dengan individu yang lebih sesuai.
“Jemputan rasmi kepada Pemuda Umno dan BN untuk menyertai demonstrasi esok akan dibuat selepas ini.
“Himpunan esok bertujuan menggesa agar kerajaan Amerika Syarikat menarik balik pencalonan Nick Adams dan menamakan calon yang lebih profesional, sederhana, dan memahami kepentingan kestabilan rantau Asia Tenggara, bukannya individu kontroversi seperti Nick Adams,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama wakil sayap pemuda Amanah dan DAP.

Menurut Danish, Adams merupakan individu yang sering membuat kenyataan celopar, memecahbelahkan dan provokatif, yang tidak selari dengan norma masyarakat majmuk di Malaysia.
“Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama Islam, menyokong secara terbuka rejim Zionis, serta mengutarakan pandangan yang merendahkan martabat wanita.
“Ini amat tidak wajar bagi seseorang yang akan mewakili Amerika Syarikat ke Malaysia,” katanya.
Tambah Danish, AMK bimbang sikap dan pandangan seperti itu bukan sahaja berisiko menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS, malah turut boleh mencetuskan ketegangan yang tidak perlu di peringkat serantau.
Perhimpunan esok akan diadakan pada pada jam dua petang di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di ibu negara.
Himpunan itu akan menyaksikan penyerahan memorandum rasmi kepada pihak kedutaan.
“Himpunan ini bertujuan menyampaikan suara rakyat yang cintakan hubungan diplomatik yang adil, harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Sementara itu, Danish berkata sayap pemuda PH juga akan mengadakan flash mob di sekitar Bukit Bintang malam ini, sebelum himpunan kemuncaknya esok.
Selain AMK, pencalonan Adams turut menerima bantahan daripada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, aktivis dan tokoh awam tempatan sejak namanya diumumkan oleh Trump minggu lalu.
Adams, 40, warganegara dwikerakyatan Australia-Amerika seorang personaliti media sosial, penulis dan menggambarkan dirinya sebagai “lelaki alfa".
Dia bakal menggantikan Edgard Kagan, diplomat kerjaya yang dicalonkan oleh bekas presiden Joe Biden pada Mei 2023.
Adams terkenal dengan hantaran media sosial yang mempromosikan imej peribadinya berdasarkan stereotaip maskuliniti, serta kenyataan yang bersifat Islamofobia.
Dia juga secara terbuka menyokong Zionisme.
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini turut berkongsi satu hantaran oleh Adams tahun lalu, yang mendakwa dia berjaya memecat seorang hamba restoran yang memakai lencana "Free Palestine".





