PKR akan mengadakan pengundian sebaik saja mandat penyandang semua jawatan parti terbabit berakhir pada Mei tahun depan.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata tidak timbul isu pengundian PKR ditangguhkan kerana mandat pemimpin ketika ini masih sah.
Justeru, katanya, salah faham mengenai isu tersebut wajar diperbetulkan.
"Sebenarnya pengundian parti, memang tarikh akhirnya pada Mei 2025... maksudnya tidak ada sebab untuk menangguhkan pengundian.
"Kena perbetulkan naratif... pengundian bukan ditangguh dan ia akan diadakan mengikut masa.
"Sebab (sebelum ini) ada yang mungkin memikirkan perlu ditangguh, tapi tarikh akhir ialah Mei 2025," katanya.
Terdahulu dia yang juga timbalan menteri perdaganan dalam negeri dan kos sara hidup melakukan tinjauan skim harga maksimum sempena Deepavali di Mentakab, Pahang hari ini.

Pada 27 Okt lalu Presiden PKR Anwar Ibrahim mahu supaya pengundian parti itu disegerakan untuk membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dan pemimpin lama berganding bahu menguruskan parti dengan lebih berkesan.
Sementara itu ketika ditanya jika kebimbangan tahap sokongan terhadap kerajaan antara punca cadangan menangguhkan pengundian parti disuarakan, Fuziah menegaskan perkara itu tidak timbul.
"Kerajaan ini kerajaan yang stabil dan kita perlu beri peluang kepada perdana menteri untuk selesaikan tugas beliau hingga cukup penggal," katanya.





