Pertelingkahan antara PAS dan Bersatu umpama "gaduh laki bini" namun masih tinggal bersama dalam rumah yang sama, kata Adun Kota Seputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Menurut ketua Bahagian Bersatu Jerlun itu, pertelingkahan telah selesai apabila Bersatu dan PAS masing-masing masih kekal dalam Perikatan Nasional (PN).
"Hubungan PAS, Bersatu dah selesai, kita semua sebagai anak muda ucapan terima kasih kepada Pengerusi PN (kerana) telah laksanakan tanggungjawab tandatangan watikah calon PN.
"Ia umpama bergaduh laki bini dok dalam rumah (sama) tak keluar rumah, (cuma) tidur bilik lain," katanya ketika ditemui media di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 8 Jun lalu, PAS memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Perkara itu dinyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Menurut Abdul Hadi, mesyuarat yang berlangsung telah memperakukan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah.
Dalam pada itu, Mohd Ashraf menggesa kepimpinan parti masing-masing agar berhenti menyerang sesama sendiri apabila kesemua mereka masih kekal sebagai rakan komponen PN.

Dalam pada itu, Mohd Ashraf (gambar atas) pada sidang media sama hari ini mengumumkan pelancaran Nothing To Hide 3.0 sebagai satu gagasan untuk menonjolkan kepimpinan anak muda dalam Bersatu.
Katanya, mereka akan menjelajah ke seluruh negara bagi mengemukakan wajah baru pemimpin muda Bersatu dalam membawa agenda politik matang.
Jelasnya, agenda mereka adalah untuk mengakat kembali perjuangan yang berteraskan kepentingan rakyat bukannya retorik.
"Kita nak bawa pemimpin-pemimpin kita, juga nak bawa nilai perjuangan, kita nak jernihkan apa matlamat kita secara bersama.

"Kita mahu orang Melayu kembali di persada kekuasaan," katanya yang turut membuka penyertaan kepada pemimpin parti politik lain.
Sementara itu ditanya mengenai keberadaan Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah Zainuddin dalam PN, Mohd Ashraf menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan.
"Bersatu dah cakap nak kekal dalam tu (PN), buat apa lagi, kita buat kerja," katanya lagi.
Enggan mengulas lebih lanjut mengenai parti Wawasan, Mohd Ashraf berkata adalah lebih elok parti itu menyelesaikan dahulu isu pendaftaran mereka.





