China pada Rabu (22 Apr) menafikan sekali lagi bahawa kapal yang dipintas oleh Amerika Syarikat (AS) membawa hadiah dari Beijing untuk Iran, sehari selepas Presiden AS Donald Trump membuat tuduhan itu.
AFP memetik Trump sebagai berkata bahawa kapal berbendera Iran yang dirampas oleh tentera AS di Teluk Oman pada Ahad membawa hadiah dari China yang dianggapnya sebagai tidak baik.
Kenyataannya dibuat selepas bekas duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Nikki Haley menulis di X bahawa kapal itu dalam perjalanan dari China ke Iran dan dikaitkan dengan penghantaran bahan kimia untuk peluru berpandu.

Menjawab tuduhan Haley pada taklimat media harian pada Selasa, jurucakap kementerian luar Guo Jiakun berkata kapal itu merupakan kapal kontena asing dan China menentang sebarang perkaitan serta spekulasi jahat.
Ditanya mengenai kenyataan Trump pada Rabu, Guo berkata China sudah menyatakan pendiriannya.
Sebagai sebuah negara utama yang bertanggungjawab, China sentiasa menunjukkan teladan yang baik dalam memenuhi kewajipan antarabangsa yang sewajarnya, tambahnya.
Trump pada Selasa berkata bahawa dia sedikit terkejut memandangkan dia menyangka mempunyai persefahaman dengan Presiden China Xi Jinping.
Seminggu lalu, Trump mengumumkan bahawa Xi memberi jaminan kepadanya bahawa tidak akan ada penghantaran senjata China ke Iran.

Beijing adalah rakan rapat Tehran dan menyifatkan serangan AS-Israel ke atas Iran sebagai tidak sah, namun ia juga mengkritik serangan ke atas negara-negara Teluk serta menggesa Selat Hormuz dibuka semula.
Kapal yang dirampas, MV Touska, sedang belayar menuju ke pelabuhan Bandar Abbas di Iran, menurut Markas Pemerintahan Pusat AS (Centcom) pada Ahad.
Kapal pemusnah peluru berpandu USS Spruance melepaskan beberapa das tembakan daripada meriam kaliber lima inci untuk melumpuhkan sistem pendorong kapal Iran itu selepas mengarahkannya mengosongkan bilik enjin, kata Centcom dalam satu hantaran di X.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan memuncak di Selat Hormuz, laluan penting untuk minyak dan gas asli cecair dunia, yang hampir ditutup sepenuhnya sejak permulaan peranang di Asia Barat.

Iran membuka semula selat itu seketika pada Jumaat lalu sebagai pengiktirafan kepada gencatan senjata Israel-Hizbollah di Lubnan, namun menutupnya semula pada keesokan harinya sebagai tindak balas terhadap tindakan AS yang mengekalkan sekatan ke atas kapal yang keluar masuk dari pelabuhan Iran.





