27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Panik di politeknik: Warga maya rai kisah pegawai IPT bantu pelajar baru

    Shopee Sale

    Ketika media sosial kini dilihat menjadi medan untuk membenci, bertelingkah, berkongsi isu-isu sensitif dan menjadi batu api, kisah seorang pegawai institut pengajian tinggi membantu seorang pelajar mendapat perhatian warga maya.

    Individu yang dikenali sebagai Zaidil Adha, yang merupakan pegawai hal ehwal pelajar Politeknik Balik Pulau (PBU) di Pulau Pinang berkongsi pengalamannya membantu seorang pelajar baru di institusi pengajian tinggi (IPT) itu, yang berdepan pelbagai kesulitan.

    Perkongsian itu setakat ini mendapat lebih 10,000 tanda suka, ribuan perkongsian dan komen positif daripada warga maya.

    Menurut Zaidil, dia menerima panggilan daripada seorang bapa yang menghubungi pejabatnya dengan nada cemas memberitahu anaknya yang dikenali sebagai Lim ZY dari Batu Pahat datang seorang diri ke Pulau Pinang pada 27 Julai, iaitu sehari lebih awal daripada tarikh pendaftaran (28 Julai) kerana tiada tiket bas.

    "Pada kebiasaannya ibu bapa akan menghantar anak untuk pendaftaran pelajar baru. Namun bapa ini kurang kemampuan dan terpaksa menyuruh Lim pergi sendiri.

    "Saya sangat kagum kerana Lim bukan sahaja tidak pernah ke Pulau Pinang, dia juga tidak pernah menaiki bas ekspres. Saya meminta nombor telefon, nombor MyKad, dan nama penuh pelajar itu.

    “Setelah mendapatkan kebenaran dari ketua jabatan, saya meminta rakan sekerja untuk mengambil kunci asrama bagi pihak Lim,” katanya.

    Menurut Zaidil, pelajar itu tiba di depan perpustakaan politeknik berbaju putih, berseluar hitam dan bertali leher, yang merupakan pakaian untuk pendaftaran esok.

    Justeru, kata Zaidil, dia meminta Lim menukar pakaian terlebih dahulu.

    "Lim membawa beg ke tandas perpustakaan untuk menukar baju, sementara saya menunggunya di luar. Tiba-tiba, dia keluar dengan muka merah, mata berair, dan tangan terketar-ketar.

    MENARIK:  Wee bidas UM, KPT abai isu kemasukan universiti

    "Lim berkata, beg besar yang dibawanya bukan miliknya. Saya menghela nafas panjang, memikirkan banyak kerja yang perlu diselesaikan pagi ini,” katanya.

    Namun, Zaidil berkata dia tidak sanggup membiarkan Lim dalam kesulitan dan membawa semula Lim ke Terminal Bas Sungai Nibong untuk mengambil beg.

    Katanya, setelah sampai di Terminal Bas Sungai Nibong, mereka diminta ke Penang Sentral untuk menuntut beg.

    "Kes selesai. Kami patah balik. Lim berkata, ‘Hari ini tiga kali saya naik Jambatan Pulau Pinang’. Wajahnya tidak henti-henti memandang ke luar, menikmati pemandangan.

    "Kami singgah di Lotus Sungai Dua kerana Lim ingin membeli barang. Setiap kali mengambil barang, Lim mengira di kalkulator telefon bimbitnya untuk memastikan dia tidak melebihi bajet.

    "Di kaunter bayaran, saya bayarkan semua barang yang dibelinya. Lim tunduk-tunduk seperti orang Jepun mengucapkan terima kasih," katanya.

    Katanya, setelah pulang ke PBU, pelajar lain datang menyambut Lim dan membantunya di asrama.

    "Saya berasa puas hati dapat membantu pelajar ini. Moga Lim belajar bersungguh-sungguh di PBU," kata Zaidil.

    Malaysiakini masih sedang menghubungi Zaidil untuk mendapatkan ulasan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah