30.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Nik Zawawi akhirnya akur, akui kurang cermat, mohon maaf lepas ditekan

    Shopee Sale

    Selepas kritikan bertalu-talu Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf susulan kontroversi ceramahnya yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

    “Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.

    “Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Terdahulu, tular petikan ucapan bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu yang menyentuh kehidupan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam dalam ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.

    Dalam ucapan berkenaan, Abu Bakar digambarkan sebagai “bapa ceti” kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin manakala Umar pula didakwanya berperanangai ganas dan suka berzina.

    Kenyataan tersebut mengundang kritikan termasuk daripada pemimpin PAS sendiri, antaranya Pemuda PAS Selangor yang menggesa Nik Zawawi supaya bertaubat.

    Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar yang membuat teguran umum menerusi kenyataan di Facebook menegaskan kedudukan para sahabat Rasulullah bukan seperti manusia biasa dalam sejarah Islam.

    MENARIK:  Bekas mufti P Pinang penerima Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

    Nik Zawawi dalam video penjelasannya semalam bagaimanapun mempertahankan ucapannya dan menegaskan dia tidak menghina para sahabat Nabi.

    Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu juga berkata kenyataan berkenaan dibuat sebagai perbandingan bagi membantu orang ramai memahami perbezaan antara zaman jahiliah dan era hidayah Islam.

    "Sahabat-sahabat semua berlaku adillah dalam perkara ini, saya nak sebut bahawa bila kita tengok sesuatu kita tengok dengan positif,” katanya.

    Dia turut ditegur oleh Dewan Ulama PAS Pusat dan pendakwah bebas susulan kenyataan tersebut.

    Dalam kenyataan terbarunya, Nik Zawawi berkata dia sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.

    “Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

    “Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.

    “Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah