Pengundi di Negeri Sembilan lebih memilih emosi dan sentimen kaum berbanding prestasi yang ditunjukkan kerajaan negeri diterajui PH sebelum ini, kata Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa.
Menurutnya, kemenangan gabungan BN dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan politik identiti berasaskan kaum berjaya mengatasi politik nilai yang merentasi kaum dan agama dibawa PH.
"Pengundi Negeri Sembilan memilih emosi dan sentimen kaum dari prestasi dan pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka.
"Sementara kita menghormati pilihan pengundi, kita juga melahirkan kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi membawa risiko kepada suasana politik menjadi semakin meruncing.
"Ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum dan agama akan semakin melebar justeru menjejaskan kestabilan dan perpaduan yang merupakan kunci kepada kemakmuran negara," katanya dalam kenyataan.
PRN Negeri Sembilan yang diumumkan keputusannya kelmarin menyaksikan BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN muncul sebagai parti terbesar dengan memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi.

PH pula memenangi baki 11 kerusi, selain menyaksikan dua pemimpin utamanya tewas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun di DUN Linggi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di DUN Chennah.
Susulan keputusan itu, PH mendakwa kemenangan BN-PN didorong oleh permainan politik identiti dan sentimen perkauman yang disifatkan berada pada tahap luar biasa.
Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari berkata, pendekatan yang digunakan pihak lawan hampir sepenuhnya menyemai unsur perpecahan sehingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Amirudin menegaskan tumpuan sepatutnya diberikan kepada isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat seperti ekonomi tempatan dan peluang pekerjaan, sambil mendakwa pihak lawan mengabaikan perkara tersebut sepanjang kempen pilihan raya.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas dakwaan itu dengan menyifatkan PH perlu melakukan muhasabah diri berbanding menyalahkan rakyat.
"Rakan-rakan dari PH bermuhasabahlah, ada sebab kenapa rakyat menolak anda hari ini.
"Jangan persalahkan kami dengan memomokkan seolah-olah rakyat terpedaya dengan sentimen perkauman. Adakah anda rasa rakyat tidak cerdik?" soalnya.
BN tikam rakan secara terang-terangan
Sementara itu, Mujahid berkata rakyat semakin keliru apabila BN yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bertindak bekerjasama dengan pembangkang daripada PN, selain menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai menteri dan pemegang jawatan rasmi lain untuk berkempen di Negeri Sembilan.

"Sikap BN di Negeri Sembilan dikesali atas perbuatan 'menikam' rakan terang-terangan dengan membahagikan kerusi sesama PN untuk mengalahkan kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dibentuk bersama sebelum PRN.
"PH harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama.
"Ini adalah isyarat bahawa Pakatan Harapan akan mengharungi laluan mendaki yang sukar jika PH beriltizam untuk istiqamah membawa Malaysia ke politik nilai yang lebih menjaminkan masa depan negara," katanya.





