29 C
Kuala Lumpur
Monday, August 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Malaysia mungkin benarkan semula eksport nadir bumi

    Shopee Sale

    Malaysia mungkin akan membenarkan semula sebahagian eksport nadir bumi mentah, sekali gus melonggarkan larangan yang berkuat kuasa sejak 2024, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.

    Dalam temubual bersama Bloomberg, Syed Ibrahim berkata kerajaan kini berdepan tekanan daripada kerajaan negeri serta pelabur, termasuk dari luar negara.

    "Mereka sudah mula ketuk pintu," katanya, merujuk kepada minat ditunjukkan oleh Amerika Syarikat (AS), Australia, Perancis dan India.

    Bagaimanapun, dia enggan memberikan tempoh masa bila keputusan itu akan dimuktamadkan.

    Pada September 2023, Bernama memetik Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai berkata ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bahawa kerajaan sedang menggubal dasar bagi melarang eksport nadir bumi yang belum diproses bagi melindungi pulangan kepada negara.

    Dasar itu kemudian dikuatkuasakan menerusi moratorium yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.

    Tahun lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan dalam jawapan bertulis di Parlimen bahawa moratorium jangka pendek terhadap eksport unsur nadir bumi (REE) akan dilaksanakan dari 2025 hingga 2027 bagi membangunkan industri pertengahan (midstream), menurut Bernama.

    Sejak 2024, kerajaan turut mengusahakan rangka kerja Dasar Mineral Negara 3 yang akan menggantikan dasar terdahulu yang diperkenalkan pada 2009.

    Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata sebarang eksport akan tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk pelaburan di Malaysia dan pemindahan teknologi.

    Dia turut berkata bahan yang dieksport sepatutnya digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Tertakluk kepada syarat

    Syed Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas sama ada kerajaan akan membatalkan perjanjian yang dimeterai dengan AS semasa lawatan Presiden Donald Trump tahun lalu, yang menghalang Malaysia daripada mengenakan kuota ke atas eksport mineral kritikal dan nadir bumi ke negara itu.

    Ditanya mengenai siasatan jawatankuasa Parlimen terhadap perjanjian syarikat Australia, Lynas Rare Earths Ltd, dengan Jabatan Pertahanan AS, Syed Ibrahim berkata dia tidak mengetahui sebarang dapatan mengenainya.

    "Saya fikir Malaysia, sebagai sebuah negara yang menyokong Palestin, akan meneliti perkara itu dan melihat sama ada terdapat sebarang penyelewengan atau perkara yang bercanggah dengan dasar luar Malaysia sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

    MENARIK:  SPRM serah lukisan dikait 1MDB kepada Galeri Seni Negara

    Perjanjian Lynas dengan AS sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong Palestin yang mendakwa Malaysia mungkin terlibat secara tidak langsung dalam aktiviti ketenteraan yang dikaitkan dengan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Kemudahan Lamp

    Lynas mengendalikan kemudahan Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Pahang, yang menghasilkan 95,000 tan metrik pekatan lantanida setiap tahun menggunakan mineral yang diperoleh dari Mt Weld di Australia Barat.

    Mineral itu diproses sebelum dihantar ke Malaysia untuk penapisan dan pengasingan kepada oksida nadir bumi.

    Lamp bukan sahaja mampu menghasilkan REE ringan, malah merupakan satu-satunya pengeluar utama REE berat di luar China. Justeru itu, ia menjadi satu-satunya pengeluar yang tidak tertakluk kepada kawalan eksport mineral kritikal yang dikenakan oleh China.

    REE merujuk kepada kumpulan 17 jenis logam dan oksidanya yang digunakan secara meluas dalam pelbagai aplikasi teknologi tinggi. Bahan itu kini mempunyai kepentingan strategik dalam peranang perdagangan yang berterusan antara AS dan China.

    Bulan lalu, Lynas mengumumkan rancangan untuk mengembangkan operasinya di Malaysia menerusi pembinaan sebuah kilang magnet kekal nadir bumi di Kuantan, Pahang, dengan kerjasama syarikat teknologi Korea Selatan, JS Link.

    Penglibatan China

    Sementara itu, Syed Ibrahim berkata usaha meningkatkan penglibatan China dalam sektor perlombongan dan pemprosesan nadir bumi setakat ini masih mencatat kejayaan yang terhad.

    Namun, katanya, kerajaan akan terus berunding dengan negara itu kerana Malaysia tidak boleh mengabaikan pengalaman dan kelebihan teknologi yang dimiliki China.

    "Jika China bersedia berkongsi teknologi, ia akan menjadi situasi menang-menang untuk semua pihak," katanya.

    Dia berkata Malaysia dianggarkan mempunyai simpanan nadir bumi sebanyak 16.1 juta tan dengan nilai sekitar RM970 bilion.

    Sebahagian besar simpanan itu berada di kawasan hutan simpan dan menurutnya, kajian masih dijalankan bagi mengenal pasti lokasi sebenar serta membangunkan kaedah perlombongan yang lebih mesra alam.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah