Pegawai penyiasat kes rasuah projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion yang membabitkan Lim Guan Eng menafikan dakwaan bahawa beliau menjalankan siasatan secara berat sebelah.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan, Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, 34, berkata demikian ketika disoal balas peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada perbicaraan kes berkenaan hari ini.
Terdahulu, Mohd Haijan mempersoalkan kegagalan pihak penyiasat mengesahkan sama ada syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) pernah mengemukakan tuntutan kepada kerajaan Pulau Pinang berhubung laporan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci (FSDD) bagi projek terowong dasar laut itu.
Bagaimanapun, Zulhilmi berkata laporan FSDD bagi projek berkenaan belum dikemukakan kepada kerajaan negeri kerana ia masih di peringkat awal dan baharu disediakan oleh CZBUCG.
Menjawab soalan Mohd Haijan sama ada beliau pernah melihat dokumen FSDD projek terowong itu, saksi pendakwaan ke-38 itu menjawab, "Ada lihat."
Zulhilmi turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pihaknya hanya bergantung pada keterangan saksi pendakwaan ke-23, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, tanpa mengesahkan kesahihan penyediaan FSDD projek berkenaan, selain menafikan beliau gagal menyiasat perkara penting itu.
Mohd Haijan: Setuju dengan saya bahawa siasatan tuan berhubung isu ini adalah berat sebelah dan berniat untuk mengenakan anak guam saya (Lim).
Zulhilmi: Saya tidak setuju.
Apabila ditanya sama ada sehingga kini CZBUCG masih belum menerima bayaran bagi penyediaan FSDD projek terowong itu, Zulhilmi menjawab, "Tidak pasti."
Lim, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM3.3 juta bagi dirinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk melaksanakan projek sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Jumaat ini.





