Najib Razak memetik ayat al-Quran menggesa bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail supaya berkata benar, mendakwa saksi pendakwaan itu memberi keterangan palsu.
Bekas perdana menteri itu hari ini memberi keterangan di mahkamah bahawa dia tidak menyangka Ismee, yang selama ini dianggapnya sebagai seorang yang berintegriti dan berpegang pada prinsip Islam, akan menyampaikan fakta yang didakwa tidak benar.
"Untuk mendengar penyampaian fakta yang tidak tepat daripadanya sangat mengecewakan dan menyedihkan. Ia bukan sesuatu yang saya jangka daripada seseorang yang saya pandang tinggi.
"Namun, bukan tugas saya untuk membuat spekulasi tentang mengapa dia memilih untuk berbuat demikian.
"Tetapi, sebagai orang Islam, kita diingatkan dalam al-Quran untuk 'berkata benar walaupun kepada diri sendiri' (Surah An-Nisa 4:135).
"Tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan keadilan adalah perkara utama. Namun, demi keadilan kepada Ismee, dia bukanlah satu-satunya saksi pendakwaan yang memilih untuk menyampaikan fakta yang didakwa tidak benar untuk mengaitkan saya secara tidak adil," kata Najib dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.27 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ismee salah seorang saksi utama pihak pendakwaan dalam kes ini.
Pada 30 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib membela diri terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan 50 saksi yang dikemukakan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2019.
Najib, yang pertama kali didakwa pada 2018 dalam kes ini, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas sabitan kesalahan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
[Baca berita asal]





