Pihak berkaitan akan mengadakan perbincangan segera bagi mencari penyelesaian terhadap isu graduan farmasi Universiti Alexandria, Mesir yang tidak dapat menduduki peperiksaan kelayakan di bawah Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Mohammad Shatar Sabran berkata MQA, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited mencari penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang supaya graduan terbabit dapat diiktiraf oleh LFM.
"MQA dan JPT komited untuk mencari jalan penyelesaian untuk jangka masa pendek dan panjang bagi membolehkan graduan diiktiraf LFM.
"JPT, KKM, MQA akan mengadakan perbincangan segera. Bagi kohort yang telah pulang ke Malaysia akan dibantu agar mereka boleh praktis sebagai farmasi," katanya kepada Malaysiakini.

Isu itu mendapat perhatian selepas Malaysiakini hari ini melaporkan luahan beberapa ibu bapa yang kecewa apabila anak mereka tidak dapat menduduki peperiksaan kelayakan LFM bagi melengkapkan laluan untuk berkhidmat sebagai ahli farmasi di Malaysia.
Antara ibu yang tampil bersuara, Noor Haslina Abdullah meluahkan kekecewaan apabila anak perempuannya, Nurul Izzah Afifah Mustapha, pelajar cemerlang 10A SPM dan penghafal al-Quran, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan kelayakan tersebut.
Haslina, isteri kepada bekas pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahri Mohammad Zin berkata permohonan anaknya ditolak kerana program PharmD atau Doktor Farmasi tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia.
Menurutnya, anaknya melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan menerusi surat tawaran yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dia berkata selepas keputusan SPRM pada 2020 ketika tempoh mencabar pandemik Covid-19, KPT yang meluluskan pengajian anaknya dalam bidang farmasi di Universiti Alexandria.
Bagaimanapun, pihak universiti kemudian menaik taraf program berkenaan daripada Bachelor of Pharmacy kepada PharmD Clinical.
Program PharmD Clinical itu masih belum diiktiraf kerajaan Malaysia, menyebabkan pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan LFM yang menjadi syarat untuk menjalani latihan praktikal dan seterusnya berdaftar sebagai ahli farmasi di negara ini.
Perkara sama turut dikongsi anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, yang melahirkan rasa kecewa terhadap layanan birokrasi kerajaan berhubung isu berkenaan.

Anaknya, Nur Ain (gambar bawah) yang turut menuntut di universiti sama, berdepan situasi serupa.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata isu berkenaan timbul selepas Universiti Alexandria menukar penamaan program pada 2019 kepada Bachelor of Pharmacy - PharmD dan Bachelor of Pharmacy - PharmD (Clinical Pharmacy).
Kedua-dua program itu telah menerima akreditasi daripada National Authority for Quality Assurance and Accreditation of Education (NAQAAE) di Mesir.
Dia menjelaskan walaupun berlaku perubahan nama program, kandungan ilmu atau body of knowledge program tersebut masih berada dalam bidang farmasi.

"Memandangkan bahawa institusi tersebut berada di luar negara, maka sebarang perubahan kepada nama, mahupun struktur program ini adalah di luar kawal selia MQA dan LFM.
"Beberapa siri perbincangan di antara MQA, JPT, LFM telah diadakan, dan beberapa tindakan susulan telah serta akan diambil.
“Di antara tindakan susulan yang akan diambil adalah untuk memperincikan kaedah dalam mengemaskini penamaan baru tersebut di dalam Jadual 1 Akta 371 termasuk berhubung dengan Alexandria University, supaya Alexandria University menghantar permohonan secara rasmi kepada LFM," katanya.
Sementara itu, Mohammad Shatar menegaskan program pengajian di universiti berkenaan tetap diiktiraf dan graduannya boleh memohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) namun tidak boleh menjalankan amalan sebagai ahli farmasi.
"Daripada segi kesetaraan program, memandangkan program ini telah mendapat akreditasi daripada badan berautoriti di Mesir, maka tiada sebarang isu berkaitan kesetaraan program ini di Malaysia oleh MQA sebagai Ijazah Sarjana Muda yang membolehkan graduan bekerja," tambahnya lagi.





