Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng mengecam polis kerana menahan pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, meski hanya sebentar, awal hari ini.
“Suaram telah lama berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan keadilan, ketelusan dan akauntabiliti di Malaysia.
“Daripada mengganggu kumpulan masyarakat sivil, agensi penguatkuasaan harus melibatkan mereka secara konstruktif untuk meningkatkan landskap hak asasi manusia negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis menahan Sevan kerana didakwa memasuki ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada 10 Feb lepas tanpa pas.
Bagaimanapun, dia dibebaskan kira-kira sejam kemudian selepas disoal siasat polis.
Menurut makluman kepada media yang dihantar kumpulan hak asasi manusia itu, ini adalah berhubung insiden Sevan dan pengurus program Suaram Azura Nasron menemani ahli keluarga 32 tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Mereka berada di sana untuk bertemu dengan wakil KDN bagi mengetengahkan nasib tahanan, yang kini melakukan mogok lapar.
Sehubungan itu, Lim menggesa pihak berkuasa menghentikan segala bentuk gangguan terhadap aktivis hak asasi manusia.
Ahli parlimen Kepong itu menambah bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang mesti memberi tumpuan kepada tugas asas mereka untuk melindungi rakyat dan menegakkan keadilan, dan bukannya menindas mereka yang memperjuangkan hak rakyat Malaysia.
“Kerajaan mesti memastikan agensi penguat kuasa bertindak secara profesional dan mengikut kedaulatan undang-undang, dan bukannya mengambil tindakan menindas yang merosakkan reputasi antarabangsa Malaysia,” tegasnya.





