Polis telah menerima tujuh laporan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, termasuk satu laporan yang mempertikaikan kelayakan tauliah calon PN, Abd Muhaimin Malek.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan laporan terhadap Ketua PN Tapah itu mungkin timbul akibat keraguan mengenai cara dia memperoleh tauliah untuk mengajar dan menyampaikan ceramah agama Islam.
"Sebab dalam permohonan untuk mendapat status tauliah, aturannya adalah perlu dimaklumkan tentang sama ada (pemohon) ada penglibatan politik atau tidak," kata Saifuddin dalam sidang media di Kampung Changkat Petai, Tapah.
"Maknanya kalau disebut ada, besar kemungkinan tauliah tu tak dapatlah. Sebab itu memang aturan dia.

"Tapi di sini benda tu disebut atau didakwa ada berlaku sebaliknya.
“Jadi calon ni (Muhaimin) dikatakan ada, bermaksud kemungkinan dia sebenarnya tidak memaklumkan butiran yang sebenar. Jadi ada aduan dibuat," tambah menteri itu.
Sebelum ini, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi (gambar bawah) menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan bahawa Muhaimin telah memperdaya pihak berkuasa agama negeri untuk mendapatkan tauliah sebagai ustaz.
Bekas Adun Manjoi itu berkata, peraturan melarang individu yang memegang jawatan politik atau bertanding dalam pilihan raya daripada memperoleh akreditasi agama, yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti negeri.

Susulan laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Amanah Perak, jurucakap polis negeri, Zaharudin Rasip, mengesahkan Muhaimin memegang tauliah mengajar agama yang sah.
Dia berkata kes itu akan dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kerana polis tidak akan meneruskan siasatan lanjut mengenai perkara tersebut.
Setakat ini, majlis agama belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan, manakala Ahli Parlimen PAS, Misbahul Munir Masduki berhujah tindakan Jabatan Mufti Perak yang tidak mengambil tindakan terhadap Muhaimin sepatutnya menutup mulut pengkritik calon tersebut.
Jangan tanam kebencian
Sementara itu, Saifuddin berkata empat lagi laporan polis yang diterima berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan gambar dan tindakan khianat, termasuk dakwaan pihak tertentu sepanduk atau bendera mereka telah diturunkan oleh pihak lawan.
Walaupun menteri itu tidak mendedahkan butiran mengenai dua lagi aduan polis, dia berkata jumlah laporan yang relatif rendah menunjukkan tahap pematuhan yang baik terhadap peraturan kempen pilihan raya yang ditetapkan.
Menurutnya, polis tidak mengklasifikasikan mana-mana pusat pengundian di daerah Ayer Kuning sebagai "kawasan panas" yang berpotensi mencetuskan provokasi.
Namun, dia mengingatkan agar kempen tidak menimbulkan sentimen negatif dalam kalangan penduduk tempatan, menyeru semua pihak untuk menyokong calon masing-masing dengan cara yang tidak memecahbelahkan.
"Tak boleh ambil mudah bahawa kalau sekarang aman, dulu aman maka amanlah selama-lamanya.
"Tak boleh jadi begitu kalau ada elemen-elemen yang atas nama politik memilih jalur bahawa berbeza pendapat antara kami dengan kamu, berbeza pilihan, berbeza warna – itu dijadikan basis untuk menanam bibit kebencian. Itu tak boleh," katanya.

Saifuddin berkata walaupun penyokong parti yang dibawa masuk untuk tempoh kempen akhirnya akan meninggalkan kawasan tersebut namun penduduk tempatan akan berdepan dengan kesan negatif yang mungkin timbul akibat sentimen yang dibangkitkan untuk keuntungan politik.
"Nak angkat calon kamu, silakan. Nak julang, silakan. Nak solek, nak mekap bahawa dia inilah yang terbaik, silakan.
"Berikan alasan. Pilih calon ini, politik negeri lebih stabil. Pilih calon ini, politik negeri akan diwakili oleh calon yang kompeten. Pilih calon ini, dia akan membawa kepada pembangunan, dia akan menjadi wakil yang akan membantu menyelesaikan isu-isu rakyat.
"Tapi bila kata, 'pilih calon kami kerana calon lawan itu parti dia adalah parti yang menyebabkan Islam terancam', janganlah. Sweeping statement (kenyataan pukul rata) macam tu semua adalah bibit kebencian. Kita kena jauhkan," tegasnya.
Pengundi Ayer Kuning dijadualkan mengundi pada 26 April untuk memilih antara Muhaimin, calon BN Yusri Bakir, dan calon PSM Bawani KS.
Pengundian awal berlangsung hari ini.
[Baca berita asal]