27 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    MB, DKU digesa selesaikan kemelut pemilihan Undang Luak Rembau

    Shopee Sale

    Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun digesa mencari kaedah terbaik dalam penyelesaian kemelut pengundian Undang Luak Rembau ke-22 yang kini dilanda kontroversi.

    Gesaan itu dibuat oleh Buapak Kampung Tanjung, Hassan Ab Hamid yang antara lain mendakwa pengundian yang berlangsung pada 24 Jun dan 4 Julai lalu berakhir dengan keputusan yang tidak telus.

    Dakwanya, dalam kedua-dua kerapatan (pengundian) secara majoriti berpihak kepada Kampung Tanjung, sebaliknya dimasyhurkan calon Undang Luak Rembau dari Kampung Pulau.

    “Kami kecewa apabila Datuk Perba (Dato lembaga) meminta buapak delapan kampung untuk memastikan kemenangan pengundian diberikan kepada Kampung Pulau, ini menunjukkan sikap memihak yang bertentangan dengan tatacara pengundian yang adil,” katanya.

    Pemilihan Undang Luak Rembau itu diadakan bagi menggantikan penyandangnya Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei lalu.

    Untuk rekod, pengundian Undang di Negeri Sembilan perlu dipilih daripada calon-calon daripada Suku Biduanda, yang merupakan suku asal di negeri itu.

    Terdapat 12 Suku dalam sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

    Di Rembau, pelantikan undang perlu mengikut giliran iaitu daripada waris Suku Biduanda Sedia Raja dan waris Biduanda Lela Maharaja.

    Sebanyak lapan kampung terlibat dalam mewarisi jawatan itu iaitu Kampung Tanjung, Kampung Pulau, Kampung Chengkau, Kampung Tengah, Kampung Tebat, Kampung Bukit, Kampung Gadong dan Kampung Kota.

    Hassan mendakwa Kampung Tanjung memperolehi empat undi, manakala Kampung Pulau mendapat tiga undi dan Kampung Chengkau meraih satu undi.

    MENARIK:  Pengeluaran getah asli menguncup 13.9 peratus pada Sept

    Tambahnya, pihaknya juga telah mengemukakan bantahan rasmi terhadap pemasyhuran Kampung Pulau, namun tidak dilayan oleh pihak Datuk Perba selaku pengerusi tatacara pengundian.

    “Kampung Tanjung yang sepatutnya menerima giliran untuk menyandang pusaka Undang Luak Rembau ke-22 telah dinafikan haknya.

    “Anak buah Kampung Tanjung bersatu mempertahankan hak dan keadilan serta akan terus berjuang memastikan hak mereka dihormati,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengguna pakai sistem adat pepatih dalam sistem pemerintahannya.

    Berdasarkan sistem ini, buapak melantik lembaga, lembaga melantik undang dan undang melantik yamtuan besar.

    Hassan berkata dia yakin terhadap kemuliaan dan perananan DKU dalam melaksanakan tanggungjawab yang adil seperti termaktub dalam Fasal 16 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

    Dia juga yakin kerajaan negeri dapat memberi nasihat dan membantu mengendurkan ketegangan susulan pertikaian itu.

    Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi lanjut Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin, DKU dan pejabat Menteri Besar negeri Sembilan berhubung isu berkenaan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah