Lapar antara alasan diberikan sekumpulan empat individu yang mengaku bersalah melakukan aktiviti memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, pada 12 Mei lalu.
Alasan itu diberikan selepas keempat-empat mereka ditanya oleh majistret Nadratun Naiem Zainan di Mahkamah Bentong, Pahang, hari ini.
"Tak tahu ke bahaya masak di stesen minyak kemudian muat naik di media sosial pula," soal Nadratun seperti dilaporkan Sinar Harian.
Terdahulu seorang peniaga kedai makan iaitu Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24; Nurfatin Irdina Shahrulnizam (pegawai khidmat pelanggan), 24; Nur Anis Salleh (pembantu pergigian), 24 dan Nur Azira Azman (ejen hartanah), 23, dilaporkan mengaku bersalah atas pertuduhan memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak berkenaan.
Aktiviti itu tular di media sosial sekali gus dikecam netizen kerana boleh mendatangkan bahaya.
Ketika ditanya bagaimana timbulnya idea untuk memasak di lokasi itu, Nurfatin memberitahu perbuatan itu dilakukan secara rawak dan memberikan alasan lapar.
Fadhli pula mengakui mereka merancang untuk memasak di tempat lain tetapi sudah penuh dan mendakwa kawasan memasak ketika itu jauh dari nozel minyak.
Kesemua mereka disabitkan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya.
Tertuduh ketika proses rayuan memohon denda yang rendah dan masing-masing memberikan alasan masih menanggung kedua ibu bapa, adik beradik serta mengakui kesalahan kali pertama yang dilakukan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid meminta hukuman setimpal diberikan kepada kesemua tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.
"Ini kerana kejadian berkenaan telah menarik perhatian awam dan menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif kepada masyarakat," katanya dipetik sebagai berkata.
Nadratun kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 seorang dan tiga hari penjara jika denda gagal membayar denda.





