33.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Promosi pelancongan dan kepekaan sosial perlu seimbang

    Shopee Sale

    ULASAN | Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengambil maklum usaha kerajaan dalam memperkukuh sektor pelancongan negara melalui pelbagai inisiatif dan program promosi, termasuk penganjuran aktiviti di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang serta beberapa lokasi lain di pelbagai negeri yang turut menganjurkan program seumpama dalam rangka promosi pelancongan.

    Abim mengiktiraf kepentingan sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi negara. Namun, dalam suasana semasa yang menyaksikan tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan global, pendekatan penganjuran acara perlu dinilai secara lebih menyeluruh dari sudut keutamaan, mesej dasar dan kesannya terhadap persepsi awam.

    Dalam hal ini, Abim berpandangan bahawa pengaitan sambutan pelancongan dengan aktiviti seperti pesta air di kawasan bandar utama dan tumpuan awam menimbulkan persoalan dari sudut kesesuaian pendekatan serta nilai yang ingin ditonjolkan.

    Perkara ini tidak terhad kepada satu lokasi tertentu, sebaliknya mencerminkan pendekatan yang lebih meluas dalam penganjuran program pelancongan di seluruh negara yang wajar dinilai kembali secara menyeluruh.

    Lebih membimbangkan, penglibatan kepimpinan tertinggi kementerian secara langsung dalam aksi semburan air di ruang awam menunjukkan pertimbangan yang tidak selari dengan konteks semasa, sekali gus berisiko menjejaskan kewibawaan kepimpinan dan komitmen terhadap nilai kesederhanaan dalam kerangka Malaysia Madani.

    Percanggahan yang ketara antara seruan penjimatan serta keperluan pengurusan berhemah dengan pendekatan penganjuran acara seperti ini turut berisiko menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

    Dalam konteks ini, kepekaan terhadap sentimen rakyat dan suasana semasa perlu menjadi pertimbangan utama dalam setiap pendekatan dasar.

    Abim berpandangan bahawa usaha menarik pelancong melalui pelbagai program sememangnya wujud dan wajar dihargai, khususnya yang menampilkan kekayaan makanan tradisi, budaya, adat serta pakaian yang mencerminkan identiti Malaysia.

    MENARIK:  Kes konsesi pasir: SPRM tak tolak kemungkinan buat serbuan baru

    Namun demikian, potensi dan nilai usaha tersebut berisiko tenggelam apabila dicemari oleh elemen kontroversi yang tidak perlu, sekali gus mengaburkan mesej sebenar yang ingin disampaikan.

    Pendekatan lebih tersusun

    Dalam masa yang sama, Abim menegaskan bahawa keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terletak pada kekayaan warisan budaya, kepelbagaian adat serta identiti masyarakat majmuk yang tidak terdapat di kebanyakan destinasi lain.

    Pendekatan promosi yang terlalu bergantung kepada bentuk hiburan yang tidak mencerminkan identiti tempatan berisiko menghakis keaslian Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang beridentiti.

    Justeru, pendekatan yang lebih tersusun dan berpaksikan nilai adalah penting bagi memastikan imej negara terus diperkukuh sebagai sebuah masyarakat yang berbudaya, berprinsip dan dihormati.

    Malaysia harus dikenali kerana jati dirinya, bukan kerana meniru bentuk hiburan generik yang tidak mencerminkan keunikan negara.

    Sehubungan itu, Abim menggalakkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memperkukuh strategi pelancongan yang lebih bersepadu dan berpaksikan nilai, khususnya dalam merangka penganjuran program pelancongan di seluruh negara yang wajar, berfokus dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani, dengan penekanan kepada kandungan yang mencerminkan identiti tempatan serta garis panduan yang jelas bagi memastikan kesesuaian program dengan konteks semasa dan nilai masyarakat.

    Abim percaya bahawa keseimbangan antara keperluan ekonomi dan sensitiviti masyarakat adalah asas kepada pembentukan dasar yang berkesan, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa yang memerlukan kepimpinan berteraskan hikmah serta pertimbangan yang menyeluruh.


    AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia.

    Tulisan ini tidak semestinya mecerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah